Isnin, 8 Mac 2010

Pesanan buat adik-adikku - Purnama Gemilang




Apa pun yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah ketentuan Allah yang Maha Mengetahui dan kita hambanya sekadar merancang sahaja. Tahniah kepada pihak pengurusan Kelab Bolasepak Purnama Gemilang serta pemain-pemainnya yang berjaya melangkah ke separuh akhir dikejohanan Piala Dato' Seri Jamil Khir Baharom peringkat Parlimen Jerai tahun 2010.

Sebagai pasukan yang berjaya keperingkat ini sudah tentu mereka menjadi perhatian seluruh peminat-peminat bolasepak dikawasan Jerai, malah peminat-peminat sudah mula mendekati mereka dengan harapan mereka menjadi lebih baik lagi. Sejak menghadiri jamuan pada malam kemenangan Jumaat lalu (5.3.2010) bersama pemain dan pengurusan yang dihadiri oleh Saudara Habib, Halim, Adi, Fauzi, Sobri, Shukri dan Ustaz Deen, beberapa kata nasihat telah diberikan kepada ketua pasukan oleh Saudara Fauzi. Diharapkan beliau mengambil iktibar dari nasihat tersebut.

Fauzi ada memesan kepada ketua pasukan supaya beliau lebih bersuara didalam padang dengan memberi arahan kepada pemain untuk bertindak dengan wajarnya. Ketua pasukan adalah berhak untuk menegur pemain-pemain memastikan mereka bekerja dengan tugasan yang dipikul. Bagi pemain pula janganlah merasakan mereka diperintah kerana dalam bolasepak kerjasama satu pasukan adalah penting. Jadi, jika sesiapa sahaja yang bersuara didalam padang hendaklah diterima dengan hati terbuka dan jangan merasa tersinggung. Jangan pula merasa ego kerana mereka adalah setaraf dan disini kesepakatan adalah penting.

Jika ketua pasukan mengeluarkan arahan atau teguran supaya rakan-rakannya melakukan itu dan ini, cuma ikut sahaja kerana beliau telah melihat kecacatan tersebut terlebih dahulu dan beliau merupakan orang yang kedua terakhir berada dibawah. Saya berharap semua pemain hendaklah mengeluarkan suara semasa dalam waktu permainan supaya teguran ini dapat membentuk kerjasama sepasukan dan menjadikan kamu lebih berjaya.

Disiplin dalam permainan adalah perkara yang paling utama dalam apa jua bidang sukan dan disini disiplin yang bakal diutarakan ialah peraturan permainan dan tingkah laku. Pada asasnya kesemua pemain pasukan ini telah menguasai perkara-perkara asas dalam bolasepak dan mereka tahu menggunakan pada waktunya.

Tingkahlaku didalam padang seperti bertindakbalas jika dikasari, pertikai keputusan pengadil, memarahi penonton adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya terjadi. Cuba kawalkan perasaan marah anda dengan mententeramkan diri sendiri atau meminta bantuan rakan sepasukan. Penonton akan melakukan beberapa provokasi supaya pemain tidak dapat menumpukan kepada permainan. Jika pemain tersebut tidak dapat mengawal perasaan amarahnya itu, maka tumpuan kepada perlawanan akan beralih kepada penonton dan tugasan beliau untuk bermain terjejas. Jika boleh ambil cabaran diatas provokasi penonton tadi dengan aku akan bermain lebih baik dan bersikap tenang selalu dan jangan hiraukan (bena) kekacauan yang ditimbulkan oleh para penonton.

Kerjasama satu pasukan amat penting dan tugasan yang dipikul oleh pemain harus dilaksanakan sebaik mungkin. Satu kemestian disini adalah membantu posisi lain. Jika kita dapati pasukan kita diasak oleh lawan, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap pemain turun membantu dibawah kecuali seorang dua sahaja yang ditugaskan diatas. Kamu jangan menganggap jika kamu sebagai pemain tengah, disitu sahaja tempat kamu berada atau sebagai penyerang hanya memerap diatas sahaja. Begitu juga sebaliknya jika menyerang, cuba beri tumpuan semasa menyerang dengan bijak tanpa memenatkan rakan sepasukan.

Apa yang saya perhatikan ialah sikap menunggu bola sampai kekaki, itu satu yang boleh mengundangkan bola dicuri. Cubalah pergi kearah bola tersebut dan mengambilnya kemudian melihat posisi rakan yang terbaik untuk diumpan. Dan rakan yang hendak menerima bola hendak pergi mencari tempat yang agak lapang dan kosong supaya umpanan tersebut tidak merugikan mereka.

Kalau boleh cuba menghantar bola secara leret atau dibawah dan jangan melambungkan bola kecuali sesuai kepada keadaan. Contohnya jika rakan kita berada diposisi yang selesa untuk diumpan, maka leretlah bola tersebut kerana jika dilambung, mungkin akan membuatkan hantaran tersebut terkeluar, dirampas lawan dan ia juga agak memenatkan sedikit dan agak sukar dikawal.

Kawalan kepada musuh semasa kubu pasukan diserang adalah sesuatu yang penting. Cuba ambil kawalan secara berdekatan supaya mereka tiada ruang untuk memberi bola kepada rakan mereka. Ikut kemana sahaja pergerakkan pemain lawan sehingga dia membenci kita. Jika perasaan itu timbul, maka secara psikologi, tumpuan dia terhadap permainan telah terjejas. Jadi kesempatan dia untuk bermain dengan baik telah hilang dan ini peluang untuk kita meningkat mutu permainan.

Jangan sekali-kali bergaduh didalam padang kerana ini akan mengundangkan bencana kepada pasukan dengan dikenakan kad merah. Pasukan akan kehilangan seorang pemain dan sudah tentu rakan-rakan yang bermain terpaksa mengandakan usaha demi untuk menutup ruang yang hilang tadi. Cuba kawalkan perasaan marah anda dan selalulah memberi senyuman sebagai perang saraf kepada lawan. Jika anda selalu tidak mengindahkan mereka secara saikologinya mereka akan hairan dan pening dan disitu anda telah berjaya mengawal perasaan marah tersebut. Pengadil akan mengawasi permainan tersebut dan tugasan itu hendaklah diletak keatas bahunya secara total. Pemain hanya perlu menumpukan kepada permainan sahaja.

Jaringan awal adalah penting untuk menganggu ketahanan mental pemain lawan. Anda telah medahului dengan jaringan awal, maka lawan perlu menganda usaha untuk membalas jaringan tersebut. Kalau boleh anda jangalah bermain secara sambil lewa jika telah mendahului jaringan tetapi hendaklah berusaha mencari jaringan sehingga selesa. Jika sudah mendahului 3-0 atau 4-0, maka waktu tersebut adalah sesuai untuk menunjukkan skill individu. Tetapi jika kedudukan masih dengan 1-0 atau 2-0, janganlah mencuba kaedah ini.

Pasukan ini terdiri dari anak-anak muda yang berkebolehan dan sudah tentu mempunyai cita-cita yang lebih tinggi seperti hendak mewakili negeri dan sebagainya. Secara ikhlas saya nyatakan disini, bahawa kemudahan yang diberikan oleh pihak pengurusan adalah terbaik setakat hari ini dengan membawa masuk jurulatih Sukma negeri iaitu Muhammad Ramli.

Secara ringkasnya jurulatih anda adalah pemain Kedah di zaman menjuarai Piala Malaysia bersama-sama dengan Ahmad Sobri, Radhi Mat Din, Lin Kin Hong dan Kamal Idris Ali. Beliau telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 2 kali dan pada Sukma 2006 di Kedah, pasukan beliau mendapat pingat Perak setelah tewas dengan Trengganu. Pemain pertahanan yang kental bersama skuad Kedah diera tahun 1980an dan 90an. Pernah mewakili skuad Kebangsaan dibawah kendalian Ahmad Shafie.

Dengan kehadiran beliau, jika anda berbakat, tonjolah bakat anda kepada beliau supay anda terpilih keperingkat yang lebih tinggi seperti menjadi pemain Piala Presiden, Skuad Sukma Negeri ataupun Piala Emas Raja-Raja.

Seorang lagi orang yang terlibat dengan pasukan negeri adalah Ustaz Firdaus, beliau merupakan wakil rakyat kawasan Jerai, pemuda yang berminat dengan bolasepak dan Pengurus Pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah.

Kedua-dua individu penting ini ada kaitan dengan pasukan negeri dan sedang melihat mana-mana bakat yang terbaik daripada kamu akan diserapka kedalam pasukan negeri. Ini kemudahan yang tidak pernah ada dalam mana-mana pasukan yang bermain didalam liga kawasan Jerai. Kamu mendapat kemudahan ini secara total yang mana tidak pernah dirasai oleh pemain sebelum ini. Jadi, kesempatan ini sepatutnya digunakan secara maksima mungkin.

Jika kamu merokok dan melakukan aktiviti-aktivit yang tidak berfaedah, cuba kurangkan dan kalau boleh berhenti terus. Jika kamu menanam cita-cita untuk pergi lebih jauh lagi, mulailah dari sekarang kerana diusia yang muda sebegini usah dipersiakan. Pele, legenda bolasepak dunia telah mewakili Brazil pada usia 17 tahun, Fandi Ahmad dan Zainal Abidin Hassan juga pada usia belasan tahun dan sekarang giliran kamu membuktikan kepada diri dan keluarga kamu bahawa dengan menyertai Purnama Gemilang, kamu boleh menjadi seseorang yang amat berguna kepada keluarga kamu. Jika gagal juga, bolehlah ikut saya pergi PNG, tebang balak.

Akhir kata, cuba telitikan setiap ayat didalam tulisan saya ini dan pelajarilah secara perlahan-lahan supaya apa yang dicoretkan ini menjadi satu panduan untuk kamu layak ke perlawanan akhir pada 20 Mac 2010 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan