Selasa, 22 Februari 2011

Siri 1- Kenapa Kita Mengantuk

MENGANTUKNYA!

Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak,” rungut seorang rakan yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.

Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.

Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.

Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus air dan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.

Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82 peratus kandungan darah membabitkan air.

Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.

Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berapa banyak air yang kita perlukan?

Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan Segelas air atau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air melalui peluh.

Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.

Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.

Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.

Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.

Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.

Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul membentuk batu karang.

Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang , jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.

Kesan kekurangan cecair
Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:

1. Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
2. Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
3. Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
4.Tekanan darah menurun
5.Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
6. Lesu pada waktu siang
7. Sakit belakang
8. Dehidrasi
9. Sakit kepala
10. Memperlahankan kadar metabolisma
11. Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
12. Sendi dan otot mengalami kekeringan
13. Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
14. Meningkatkan keinginan untuk makan
15. Darah menjadi pekat
16. Mudah keliru.
17. Degupan jantung meningkat
18. Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan

Siri 1 - Kenapa Kita Mengantuk

Ahad, 20 Februari 2011

Cabaran Untuk Tahun 2011

Perpatah lama ada mengatakan sekali air bah, sekali pantai berubah. Itu kata orang tua dan memang secara kebetulan pun perubahan ini turut melanda penulis. Rasanya baru sangat pulang pada pertengahan bulan Disember yang lalu dan pertengahan Januari 2011, kembali semula ke Papua New Guinea. Alah bisa tegal biasa, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula ......................

Sejak menjejak kaki kesini, tugasan yang sedia menanti adalah satu cabaran yang amat sukar ditolak dimana sejak November tahun lalu, operasi pembalakan baru bermula dan segala kesulitan dan cabaran menanti dan bakal dilalui dalam masa terdekat nanti.

Agak lama menanti khabar berita dari Sg. Petani entah ia atau tidak tidak diketahui dan menurut perjanjian dengan pihak terbabit, tinggal lagi sebelas bulan untuk diikuti dan jika terlepas tempoh tersebut, bakal leburlah perlaburan yang sudah ditanam sebelum ini. Ini adalah kerana sudah tiga syarikat dari Malaysia telah pulang dengan bebanan kerugian seperti sebuah dari Kg. Pandan, Bandar Pusat Damansara, Alor Setar. Apa gunanya berilmu tinggi dengan segala kepandaian dan bergulung-gulung sijil yang dibawa tetapi gagal. Bukan gagal kerana apa, puncanya adalah keegoan diri sendiri.

Perpatah melayu ada berkata, lain padang, lain belalang begitu juga cara perlaburan disini adalah tidak sama sekali dengan cara di Malaysia. Jika di Malaysia, jika sudah jumpa Pak Menteri dan mendapat kelulusan, makanya itulah duit kita tetapi tidak disini dimana caranya adalah terbalik.
Kebanyakkan syarikat bumiputera dari Malaysia kesini terlalu sombong dan angkuh kononnya sudah kenal pembesar-pembesar disini kecualilah wakil rakyat parlimen dari kawasan pelaburan. Nasihat dan tunjuk ajar dari pekerja bawahan langsung tidak diendahkan sehinggalah ditimpa kesulitan, baru mengaku akan kebenarannya.

Bukan apa sekadar ingin mengingatkan tetapi apalah daya sekadar kancil hendak menolah sang gajah, sudah tentu tidak berganjak jawabnya.

Ada lagi beberapa contoh tumbangnya syarikat bumiputera disini, seperti syarikat dari Melaka suatu ketika dahulu, kononnya sudah mendapat kelulusan diperingkat nasional, apabila tiba ditapak projek, dihalaunya oleh pemilik-pemilik tanah dan disitu siapa yang rugi. Tepuk dada tanya selera. Kesian pada diri sendiri, syarikat dan duit pemegang saham dan lebih teruk lagi duit rakyat jika syarikat itu adalah milik kerajaan negeri.

Kejadian terbaru yang berlaku kepada MAS Incorporated adalah satu contoh yang sangat memalukan dimana segala perbelanjaan sudah mencecah jutaan ringgit tetapi perjanjian ditarik balik oleh pihak tuan tanah. Kenapa jadi sampai begitu sekali?

Sehingga hari ini jika ditanya, berapakah perbelanjaan yang sudah dihabiskan untuk projek ini, sudah tentu disebut angka yang dimasukkan kedalam bank disini sahaja, tetapi jika dihitung betul-betul adalah lebih daripada itu. Jika sekadar untuk mendapatkan perjanjian MOU, jumlahnya tidak sampai RM200,000.00 tetapi yang menjadi mahal adalah kerana melalui oran tengah. Terbaru kadar upah orang tengah ada yang mengapai harga RM2juta dan itu pun belum mendapat FCA dan kerugian yang ditanggung oleh syarikat milik GLC sepatutnya dikira sekali.

Kekadang kita terlalu mempercayai orang tetapi tanpa kita sedari apa pangkat sekali pun orang itu, bila bermain dengan duit, kekadang mencabar keimanan seseorang terutamanya jika bernafsu besar. Menggunakan duit orang untuk kepentingan diri sendiri adalah sangat memalukan. Terdapat berbagai lakonan dan penipuan serta permainan politik didalamnya. Apa gunanya kesini lagi jika perlaburan mula sudah mencecah jutaan ringgit hilang dan mereka-mereka yang menanti untuk melahap bahagian itu sedang menanti.

Tidak serikkah dengan pengalaman pertama dan jika bukan duit sendiri pun haruslah ingat cukai orang ramai terutamanya rakyat negeri Kedah. Bukan beerti menghalau jika ingin dicuba kali keduanya tetapi seriklah pada pengajaran yang pertama.

Ayuh bangun kembali anakku jangan kecewa lagi................hulurlah tangan jika perlu bantuan tapi bukan free, kena bayaq ooooooooooooooooooooo

Ahad, 6 Februari 2011

Ku sangkakan hujan hingga ke petang rupanya panas ditengah hari




Berjumpa lagi di alam siber dimana saya sekarang berada di Port Moresby, PNG. Pagi ini diberitakan sekumpulan pelabur dari Kedah telah mendarat di kota ini tetapi bukan berita pasti.

Akhbar disini pagi ada menyiarkan tentang nasib anak syarikat kerajaan negeri disini iaitu MAS Incorporated (PNG) Ltd telah diarah keluar dari mengusahakan tanah pertanian seluas 42,000 hektar oleh pihak Baina Agro Forest Limited. Sebelun itu berita penyingkiran MAS sudah diiklan didalam sebuah akhbar melalui Pengerusi syarikat, En. Joe Bogoro dan pagi ini berita ini disahkan lagi melalui AGM syarikat tempatan .

Didalam laporan tersebut beberapa nama seperti Daniel Mona, John havi Kora, Michael Mogo telah mengeluarkan kenyataan bersama bermaksud MAS tiada lagi tempat disana. Menurut Michael Tama, MAS telah mengingkari perjanjian dan tidak menepati janji. Ini turut memalukan kerajaan Malaysia dan PNG serta Wilayah Tengah disini.

Selepas bermesyuarat di Inaia, sebuah kampung disini, perkara pemecatan telah dibuat melalui satu resolusi dan pemecatan tersebut telah disiarkan di The National, iaitu surat khabat tempatan disini dan telah ditandatangani oleh Chairman, Joe Bagoro.

Dan selepas ini, menurut Mr. Mona, tiada lagi sesiapa dari syarikat tempatan boleh membuat perjanjian dengan MAS berkenaan dengan projek tersebut dan mereka bebas mencari pemaju yang lebih berpotensi dan berminat dengan projek pertanian disini.

Kesimpulan yang dapat dibuat adalah ada sesetengah pihak mengambil keuntungan daripada projek ini dan yang menanggung rugi adalah kerajaan negeri Kedah. Menurut sumber tidak rasmi, sebanyak RM7 juta sudah dihabiskan untuk projek tersebut dan pulangan entah bila bakal digapai. Tuhan lebih mengetahuinya.