Isnin, 10 Januari 2011

Itulah yang dikatakan rezeki

Kalau ingin menjala ikan, jomlah ke PNG
Kesibukan pusat bandar Port Moresby terkini

Sebenarnya inilah yang dicari oleh penulis di hutan PNG

Hotel Papua sedang dalam pembinaan merupakan hotel tertinggi
di bandaraya ini. (Papua beerti rambut kerinting)
Kereta sport yang sebegini mudah dilihat di Port Moresby sekarang, ini
sebagai tanda aras ekonomi PNG sekarang terutamanya di Port Moresby.

Sejarah awal sistem penerbangan Air Niugini sebagai sayap penerbangan negara tersebut
dengan model DC-3 yang pertama. Boleh dilihat dari restoran Airways Hotel.

Port Moresby-dilihat dari MenaraDelloite

Ini merupakan tarian tradisional Papua yang sering menjadi tumpuan ramai setiap kali
mereka mengadakan persembahan. Sangat menarik untuk dilihat secara dekat.


Selamat tahun baru pada 2011 dan meninggalkan 2010 dengan penuh makna. Keazaman tahun ini sangatlah tinggi dimana belajar dari pembelajaran tahun sebelumnya. Tahun 2010 ditamatkan dengan kepulangan dari Papua New Guinea (PNG) dan disambung dengan cuti selama hampir sebulan sebelum bertolak kembali pada 15 hb Januari 2011.


Bermula dari Januari 2010, segala persediaan untuk memulakan projek telah berjalan dengan lancar dan pada akhir bulan dikejutkan dengan perletakan jawatan CEO KedahCorp. Dari situlah bermula titik tolak keruntuhan bakal empayar kerana ditengah jalan sahaja. Ini kerana kebimbangan yang terlampau oleh cerdik pandai negeri kearah pelaburan yang tidak menguntungkan menurut perasaan dan tekaan serta hasutan kaum sekeliling. Bulan seterusnya gaji pula tidak dibayar kepada pekerja-pekerja yang terbabit dan bermulalah suasana suram. Pegawai Akaun di luar negeri dipanggil balik dan diarahkan meletak jawatan demi menyelamatkan maruah dan selepas itu wujudlah puak-pauk didalam pejabat yang tidak seramai mana pun.


Berita sedih adalah semasa krisis adalah kembalinya Zakarya ke rahmahtullah kerana penyakit ganjil dan berdozen-dozen lagi peristiwa selepas itu. Antaranya adalah usaha menjatuhkan pelaburan pihak kerajaan negeri, pembatalan secara berancangan usaha mendapatkan pinjaman kerajaan dari luar negeri, menaburkan fitnah secara berterusan oleh orang luar kepada pegawai-pegawai KedahCorp dan pembocoran rahsia syarikat kepada orang luar sehingga menjadi persoalan didewan negeri dan serangan oleh pihak media cetak kepada kerajaan negeri kononya pelaburan di luar negara sudah kerugian dengan angka RM4 juta dan rancangan rampasan takhta oleh pihak luar didalam syarikat.


Ini berikutan dengan pengambilan kereta milik syarikat dan diserahkan kepada pihak lain dan seterus angan-angan dipasang untuk menduduki kerusi empuk di tingkat 7, Menara BDB. Sayang seribu kali sayang, ku sangkan hujan sampai ke petang rupanya berhenti sebelum waktu zohor, semua cita-cita tidak kesampaian.


Masih ingat lagi mesyuarat pada hari Jumaat bersama pegawai-pegawai kerajaan dan EXCO kanan negeri di Menara BDB. Mesyuarat berlangsung begitu panas sehingga salah seorang dari ahli mesyuarat sanggup menfitnah kerja buat orang lain. Menuduh pekerjaan pihak lain begitu cuai hingga tidak menjalankan kerja sebenar dan seorang lagi selalu mendakwa mendapat pengajian terbaik dan layak menghakimkan orang. Memang seronok didalam mesyuarat tersebut sehingga tidak sedar apa saja perkataan yang disebut rupanya dirakam. Itulah yang dikatakan rezeki, mungkin rakaman itu bakal menjadi habuan insan-insan yang teraniaya seperti penulis. Mana tau, selepas artikel ini disiarkan, ada pihak-pihak yang berminat pula untuk dijadikan modal pilihanraya akan datang.


Mac 2010, bulan getir segala berita pemecatan pekerja mulai tersebar dan kerisauan itu diubati dengan pembayaran 3 bulan pampasan. Syukur dengan pampasan tersebut dan tunggakan gaji juga dibayar dan April seterusnya, penulis menjadi penganggur. Tamatlah keikhlasan untuk berkhidmat dengan bumi sendiri diatas notis pemecatan tersebut. Kalau sebelum itu ketika tawaran diterima pada November 2008, penulis bertekad dengan penuh keazaman untuk mencurah bakti ditanah tumpah negeri sendiri manakala negeri ini pula diberi kesempatan untuk makhluk-makhluk dari luar menghabiskan beras dinegeri penulis. Apakah anak negeri sendiri diabaikan sedangkan kebolehan yang ada pada penulis serta pengalaman selama ini dicurahkan serta berbakti dibumi sendiri.


Itulah azam pada mulanya tetapi setelah melihat EXCO sendiri pun goyang, termakan kata-kata penghasut tanpa mempunyai pendirian atau bercakap sebagai wakil kerajaan, maka hati penulis membuat penilaian apakah ini 'standard' orang kanan kerajaan. Tertanya juga kenapa tidak dibuat suruhanjaya penyiasatan atau Audit Team sebelum membuat keputusan drastik tersebut. Banyak juga perancangan oleh KedahCorp diceduk oleh syarikat GLC yang lain seperti Centralise hasil buah-buahan dan Projek Ikan Keli. Tiba-tiba Tingkat 7, Menara BDB bergema dengan pelbagai bunyi-bunyian yang kurang enak didengar. Fitnah bergerak umpama gelombang talian mudah alih tanpa sempadan dan pada penulis itulah kerja-kerja saudara yang suka memakan daging seagama mereka.


Kebijaksanaan Menteri Besar (MB) bersama pegawai kanan pentadbiran negeri umpama penyelamat krisis tersebut. Mula-mula MB melantik beberapa bekas pegawai pentadbir negeri menganggotai panel penyiasatan. Selama berlakunya penyiasatan beberapa orang pegawai telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Tuan Haji Alias Bahari. Panel tersebut diketuai oleh Dato' Pegawai Kewangan Negeri, telah mendapati projek yang sedang diusahakan oleh syarikat GLC negeri adalah boleh diteruskan dengan beberapa alasan yang kukuh menurut pandangan panel tersebut.


Terbaru kedengaran kedatangan dua orang tuan tanah projek dari PNG tahun lepas umpama mengesahkan projek itu bakal disambung. Kedengaran juga pegawai yang berkuasa keatas projek tersebut sedang mencari penyambung kerja lama dan 30% saham yang dimiliki oleh individu persendirian telah dikembalikan kepada kerajaan negeri. Bila kerajaan negeri menguasai pemilikan 100% dari saham projek tersebut, makanya hasil yang bakal diperolehi oleh adalah besar juga. Memandangkan harga kayu pada kadar purata terkini adalah USD155.00 per meter kubic. Anggaran jumlah pendapatan keseluruhan adalah lebih kurang USD 184 juta termasuk kayu papan yang harganya menurut pasaran ke China adalah USD 450 per meter kubic.


Kerajaan negeri perlu mengeluarkan modal sebanyak RM30 juta untuk membeli mesin baru dan keperluan lain dalam kerja-kerja penebangan sementara kerja penanaman pula dilakukan mana-mana syarikat lain yang berminat dalam pertanian dengan situasi menang dan menang. Misalnya keuntungan kepada kerajaan negeri adalah sebanyak 30% dari hasil kutipan pertanian selama 99 tahun. Ada dua jenis tanaman yang boleh diusahakan ditanah tersebut seperti getah dan gaharu atau jati. Memandangkan purata hujan setahun dikawasan tersebut hanya kurang lebih 1,515mm, kesesuaian untuk menanam kelapa sawit adalah sangat tidak disyorkan.


Kerajaan PNG sangat mengalu-alukan mana-mana pelabur dari luar untuk mengusahakan tanaman pertanian yang sangat mendatangkan hasil kepada negara dan pemilik tanah adat. Kerajaan sedia memberi kerjasama dengan tidak menggenakan caj cukai kenderaan atau mesin berat untuk pertanian. Selain membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk mendapat kerja, sosial ekonomi tempatan juga turut meningkat. Ini terbukti jika ada sebuah syarikat yang mengusahakan tanah dikawasan tersebut, penduduk akan merasai peluang hidup yang lebih baik. Jika selama ini, anak-anak sekolah begitu sukar untuk meneruskan persekolahan, dengan pendapatan ibubapa yang bekerja di syarikat tersebut, mereka sudah tidak kesukaran untuk mendapatkan duit untuk menbayar yuran sekolah. Jalan didalam kawasan projek dibaiki, dimana jambatan yang rosak dibaiki dan digantikan dengan jambatan kekal.


Tambahan pula sebuah sekolah rendah bakal dibina didalam kawasan tersebut dan berbagai lagi kemudahan yang memberi situasi keceriaan masyarakat setempat. Manakala sebuah pasar mini bakal didirikan didalam kawasan berkenaan selain kemudahan asas yang lain seperti bekalan api dan air percuma kepada penempatan didalam atau pekerja syarikat.


Semua kemudahan asas tersebut bakal menjadikan penduduk setempat amat berterima kasih kepada syarikat dan syarikat pula perlu menjaga keharmonian perhubungan tersebut. Masyarakat setempat akan mencanangkan keistimewaan tersebut kepada jiran-jiran mereka dan ganjaran paling besar bakal dianugerahkan kepada syarikat milik negeri adalah pelawaan untuk memajukan kawasan yang memerlukan kepakaran syarikat. Tangan sentiasa mengamit untuk masuk jika prestasi kita sangat memuaskan. Jangan sekali-kali berbohong kerana mereka ini sentiasa akan menuntut janji.


Pengajaran daripada konflik 2010 diatas kesenggaraan yang menimpa syarikat milik negeri adalah jangan sekali-kali mengujudkan satu bukit dua harimau jantan. Ini telah berlaku dimana seolah-olah wujud dua ketua didalam organisasi tersebut. Satu pihak menaburkan janji kepada tuan tanah, satu pihak pula berkata sebaliknya. Jadi tuntutan akan dibuat kepada janji manis dan budaya ugut mengugut berlaku. Dengan pemilikan 100% oleh syarikat milik negeri, makanya perlukan disegerakan diteruskan usaha untuk mendapatkan permit untuk menebang habis tanah disitu sebelum kerja-kerja pembalakan secara kecil oleh syarikat pengilang diteruskan.


Difahamkan terdapat dua syarikat pengusaha kilang sedang bekerja didalam kawasan berkenaan. Puncanya adalah salah syarikat milik negeri sendiri kerana melambat-melambatkan usaha kearah permulaan projek. Usah ditangguh lagi kerana semakin lama dinanti, maka akan habislah atau berlaku kekurangan stok simpanan kayu dikawasan berkenaan. Ini kerana kepesatan pembangunan Bandaraya Port Moresby sendiri seolah menggalakan kerja penebangan kayu berlaku dengan sewenang-wenangnya.


Setidak-tidaknya keluarkan modal untuk kerja-kerja permit FCA dan melantik konsultan untuk meneruskan kerja tersebut. Lupakan saja soal menyewa rumah sebanyak K16,000.00 sebulan, bayar gaji pekerja, bil telepon dan api serta air. Termasuk juga duit minyak kereta, makanan dan lain-lain yang berkaitan dengan pentadbiran setidak-tidaknya anggaran K50,000.00 sebulan.


Dengan perlantikan konsultan, semua kos termasuk boleh diabaikan dan kekangan kos pentadbiran dapat dikurangkan kepada separuh. Dan selepas semuanya sudah berada kembali dilandasan yang betul, barulah pihak negeri memikirkan kembali untuk menempatkan pegawai mereka seperti pegawai akauntan dan pegawai operasi.


Segala tenaga kerja boleh diperolehi dari sana (PNG) atau Indonesia malahan dari Sarawak juga mudah diperolehi. Pekerja adalah bukan satu perkara yang rumit untuk diselesaikan dan itu semua adalah tanggungjawab pihak perunding. Mesin, peralatan pembalakan atau pertanian boleh didapati secara pukal dari Sarawak atau Sabah. Malahan jika perlu yang baru perlu ditempah mulai sekarang kerana ia akan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.


Memanglah peralatan kerja-kerja balak ini memerlukan belanja yang tinggi pada peringkat permulaan. Pada penulis, jumlah sebanyak RM30juta sebagai modal permulaan adalah sangat ideal dan pelan kecemasan perlu disediakan jika mahu operasi berjalan lancar. Pengalaman penulis dengan syarikat sebelum ini menunjukkan modal awal dapat dikembalikan dalam masa 3 tahun dan operasi pada tahun berikutnya adalah tahun keuntungan semata-mata.


Perpatah melayu pernah berkata"jika takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai". "Alang-alang seluk perkasam, biar sampai kehujung lengan" kerana perpatah ini mengambarkan kesediaan pihak kerajaan negeri mengharung cabaran yang bakal mendatang. Dulu waktu Panglima Awang mengelilingi dunia, tiada siapa percaya beliau adalah insan kerdil dari Tanah Melayu dan kini apa salahnya kita keluar dari kepompong Kedah untuk mencuba dunia luar.


Bak kata Safee Sali, dia kini sudah 70% ingin berhijrah bermain di Liga Super Indonesia. Apa salahnya kita sebagai anak Kedah, keluar dari agihan kek tempatan yang semakin mengecil setiap hari dan mengusahakan tanah yang seluas 42,000 hektar dan jika hendak luas dari jumlah itu pun tidak menjadi persoalan. Jomlah bermain di liga luar negeri daripada gah di liga daerah. Tidak guna jika jadi jaguh kampung jika tidak cuba usaha diluar.


Baru-baru ini ketika penulis berada di PNG, pernah menerima tawaran kawasan seluas 65,000 hektar, serta 90,000 hektar. Ini kawasan sudah sedia dengan segala dokumen dan cuma satu langkah untuk dikerjakan. Memandangkan penulis hanya sebagai perunding bukan towkey, makanya dilepaskan sahaja peluang yang terhidang begitu sahaja. Ada satu lagi kawasan seluas 82,000 hektar yang permitnya hanya untuk pembalakan bukan pertanian.


Apa pun tahniahlah kepada kerajaan negeri Kedah melalui anak syarikat kerana mengembalikan maruah penulis serta rakan-rakan yang dipecat seperti Haji Akashah dan Haji Alias. Dulu semasa dipecat, penulis merasakan satu penghinaan yang begitu besar dan berkat doa orang-orang teraniaya, makanya tuhan makbulkan supaya diberi peluang untuk khidmat kepada bumi tercinta. Maruah pulih setelah dituduh pelbagai tohmah dahulu kini bagaikan dosa terampun dan kepada pihak-pihak yang teramat dengki dengan usaha kerajaan pimpinan PAS disyorkan bacalah Al-Quran sebanyak mungkin serta lakukan solat jamaah selalu semoga hati yang hitam itu diputihkan dengan keredzaan Allah S.W.T.


Kepada EXCO kerajaan yang membuat kenyataan memperlekehkan kerja buat orang lain, saya pohon tunggulah masa sahaja untuk disiarkan rakaman tersebut dan kuncu-kuncunya entahlah bila pula peluang kamu untuk duduk dikerusi empuk walaupun kamu sendiri sudah menunaikan rukun haji kelima dan telah berkahwin. Ingatlah segala perkataan kamu itu ada bukti yang nyata dan sahih.


Perpatah melayu ada menyatakan "rusa selalu melupakan jerat tetapi jerat tetap menunggu rusa". Dan sekali lagi penulis mengucapkan Selamat Tahun 2011 dan moga tahun ini lebih berjaya. Amin.