Rabu, 24 Mac 2010

Pengalaman sebagai pekerja hutan




Setelah tamat kolej perhutanan pada tahun 1992 di Kepong, aku bekerja sebagai pembanci hutan bersama-sama Halim, Zuki, Mie Bolok, Suhaimi Pahang, Samsul, Mohd Noor, Khairuddin, Wares dan beberapa lagi kawan-kawan di Hutan Simpan Ulu Langat, Selangor.
Maka berkhemahlah aku didalam hutan selama beberapa bulan sehingga siap setiap projek. Kerja-kerja yang dijalankan ialah membuat banci Pre-F (10%) dan kadang-kadang ada juga lebih dari itu.

Kebiasaannya kumpulan ini terdiri dari 14 orang yang dibahagikan kepada 2 dan setiap satu diketuai oleh senior kami dari Trengganu. Yang menyeronokkan berkhemah dihutan ialah tiba masa hendak mendirikan khemah. Riuh rendah kawasan tersebut dengan pelbagai aktiviti seperti memotong kayu, buluh dan mendirikan khemah. Ada yang memasak dan menyediakan makan malam. Masa itu terserlah kesepakatan dan perpaduan antara kumpulan kami yang tidak seberapa ramai dan hampir senja barulah segala persediaan siap mengikut perancangan.

Selalunya, Jalal adik boss akan menghantar kami kedalam hutan dengan lori 1 tan beliau dan sesudah segalanya selesai barulah beliau beransur pulang dan ada juga beliau menziarah kami sekali dua dalam seminggu.

Melakukan kerja-kerja didalam hutan ini memerlukan semangat yang tinggi dan kental. Hutan katakan, segala macam ada didalamnya dan kerjasama sepasukan adalah penting.
Rutin setiap hari adalah mandi, makan dan kerja. Seawal jam 5 pagi kami semua dah mandi dan solat subuh beramai-ramai dan selepas itu sarapan sebelum memulakan perjalanan ketempat kerja.

Kawasan bancian terletak tidak jauh dari kawasan perkhemahan dan biasa hendak sampai kesana cuma memerlukan satu hingga dua jam sahaja. Berjalan didalam hutan dengan masa sebegitu lama tidaklah sejauh mana kerana perbezaan dengan berjalan diluar amat ketara sekali.

Tiba dipetak bancian maka kerja pun bermula dengan peranan masing-masing seperti pembaca kompas, pembanci dan pembantu serta pemegang rantai. Selebihnya adalah perintis yang perlu mengekori pembaca kompas bagi membuat jalan atau lorong bancian.

Masing-masing faham dengan tugas mereka dan setelah tamat kerja, maka berhimpunlah dihujung lorong dengan tanda diletupkan tin cat. Biasanya penamat kerja akan berada di permatang atau sungai. Setelah pembanci selesai tugasan mereka, masing-masing mengemaskan barangan dan bergerak pulang ke khemah.

2 ulasan: