Ahad, 28 Mac 2010

Kenduri di Kampung Chat, Benta, Kuala Lipis, Pahang




Seperti dijadual, kami bergerak jam 8.00 pagi dari rumah dan singgah di Gurun untuk mengambil Mak Chaq dan Tok Minah dan meneruskan perjalanan ke Sungai Petani dimana giliran Pak Mentau dan Mak Mentua sudah bersiap menunggu kira-kira jam 6 pagi. Kedua-dua anak kami sudah bersedia berangkat sejak jam 5 lagi dan terlalu gembira dengan perjalanan tersebut.

Inilah satu perjalanan yang memakan masa 9 jam dan bakal melalui banjaran Titiwangsa mengikut jalan Batang Kali dan keluar ikut Genting Sempah. Jam 9.00 pagi bergerak di Sg. Petani dan singgah di Caltex Taman Sejati kerana mengisi minyak. Selepas itu perjalanan ke selatan pun bermula dengan bacaan doa perjalanan oleh CT dan diikuti doa makan oleh adiknya, Umar. Si Umar ini, dia hanya tahu membaca doa makan sahaja kerana beliau sendiri suka makan.

Jam 9.05 minit memasuki tol SP Selatan dan 20 minit kemudian tiba di Tol Sg. Dua dan terus bergerak ke selatan dan memasuki tol Juru dan tiba di hentian sebelah Sg. Bakap, kami pun berhenti untuk berehat dan sambil menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh ibu mertuaku iaitu maggi goreng. Setelah selesai menikmati sarapan tersebut, perjalanan ke Pahang diteruskan.

Selalunya jika ingin bergerak ke satu destinasi yang jauh sebegini, aku lebih selesa memulakan pada waktu malam dan tiba di destinasi terus melelapkan mata. Tetapi kalau ini berbeza kerana aku sendiri ingin menikmati pemandangan siang disepanjang perjalanan ke Pahang. Maklumlah ini merupakan perjalanan aku pertama ke Benta, Pahang. Jadi pasti perkara-perkara yang menarik bakal dirakam.

Tiba di Bukit Gantang, kami pun berhenti untuk membeli buah dan meneruskan perjalanan dengan kelajuan seperti dicadangkan oleh papan tanda disepanjang lebuhraya tersebut. Selanjutnya berhenti di Tapah untuk menikmati makan tengahari dan berehat. Semasa berehat di Tapah, kami berjumpa dengan jiran Sunita yang hendak menuju ke Shah Alam pun tujuan yang sama, kenduri. Selesai mengisi minyak, Unser yang dipinjamkan oleh Sunita pun meluncur bergerak ke arah Tanjung Malim. Setibanya di Tanjung Malim, kami pun keluar mengikut jalan lama menuju ke Batang Kali.

Sewaktu melalui jalan tersebut, suasana agak legang kerana solat jumaat sedang berlangsung disepanjang masjid di jalan tersebut. Jadi perjalanan kami menjadi mudah dan lancar. Inilah kali pertama aku melalui bandar tersebut yang agak membangun biarpun kedudukkannya di Ulu Selangor. Mula mendaki dengan menggunakan OD dengan nasihat Sunita dan kenderaan tersebut bergerak lancar dan selesa. Sekali-sekala ada juga ia mengaum kerana menukarkan gear apabila memanjat bukit yang agak tinggi. Dan tiba di puncak banjaran antara sempadan Selangor dan Pahang, barulah merasakan kesejukan gunung.

Perjalanan diteruskan lagi hingga ke bentong dan berehat untuk solat Zohor dan jamak Asar. Setengah jam kemudian, perjalanan diteruskan hingga ke Raub dan singgah di Stesen Petronas untuk membeli keperluan.

Pada jam, 5.00 petang, barulah tiba di Benta dan Sarah sudah bersedia untuk mengiringi kami ke Kampung Chat melalui satu jalan memasuki Kg. Budu dahulu sebelum ke simpang kampung tersebut.

1 ulasan:

  1. Saya Lama tak pergi ke Chat, dulu masa muda ada lah pergi. Ada kawan sekolah nama dia Mokhtar Long. Dia orang Chat dan berkerja di Telekom di Lipis.

    Itupun lama tak jumpa dia

    That area is well known for the gula kabong, or the palm sugar. It is getting expensive now about RM5 each. We use to sell it for 35 sen.


    joha

    http://kuala-lipis-pahang.blogspot.com/

    BalasPadam