Jumaat, 23 April 2010

Mee Udang Pulau Sayak

Inilah rupa mee udang sebenar dari Pulau Sayak,
cubalah rasa sekali mesti nak lagi.

Pantai Pulau Sayak
Majlis sambutan harilahir Cikgu Rosdiah memang
meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.

Kesegaran udang masih terasa apabila kita menikmati mee udang Pulau Sayak dan saiz udang yang begitu besar membuatkan peminat mee udang berbaloi dengan bayaran yang dikenakan.

Petang Jumaat bersama 23.4.2010, satu majlis menyambut hari ulangtahun PK HEM SMK Batu 5, Jalan Jeniang telah diadakan di pantai Pulau Sayak. Ini sempena menyambut harijadi beliau ke 48 dan majlis ini dirai bersama-sama staff beliau. Nyanyian Happy Birthday dimulakan sambil empunya diri memotong kek yang ditempah khas dari Sg. Petani.

Acara berlangsung dengan meriah dan insyaallah tahun depan kita buat kejutan buat beliau. Apa pun tahniah dan selamat panjang umur untuk Cikgu Rosdiah semoga kerjaya gemilang dan terus terbilang.

Sri Sayang Apartment, Tg. Bunga, Pulau Pinang




Baru aku terperasan bahawa Sri Sayang Apartment tu tempat yang aku dan keluarga menginap sempena cuti sekolah baru-baru ini. Rupa-rupanya tempat tersebut menjadi hangat apabila tuduhan rasuah sex keatas ketiga-tiga ADUN Perak dibebaskan. Barulah aku teringat betapa indahnya tempat tersebut yang mengadap Hotel Rasa Sayang.

Sewanya tidaklah mahal sangat kerana ianya apartment bukan bilik. Ada yang dua bilik dan 3 bilik dan sewa serendah RM160.00 semalam pada apartment yang dua bilik. Ianya diuruskan oleh satu syarikat persendirian dan individu. Mudah untuk mendapatkan bilik-bilik tersebut dari individu atau tuan punya apartment yang sedia menunggu di restoran bawah.

Dilampirkan gambar apartment tersebut untuk tatapan kita semua.

Kesinambungan dari cerita diatas adalah seperti berikut.

Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini membebaskan dua bekas ahli dewan undangan negeri PKR berhubung dakwaan rasuah tanpa dipanggil bagi membela diri.

Hakim Azhaniz Azman berkata pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie dan mengarahkan mereka dibebaskan serta mereta.

Mohd Osman Mohd Jailu, 58 (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi, 53 (Behrang) didakwa bersama tiga yang lain - bekas adun PKR Usaili Alias, 56, bekas ahli majlis daerah Perak Tengah Zul Hassan, 46, dan kontraktor, Fairul Azrim Ismail, 31.

Mereka didakwa melakukan kesalahan rasuah itu di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Ipoh dan di Aquarias Restaurant & Bar di Bukit Mertajam antara 14 hingga 19 Ogos 2008.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada 8.10 malam 14 Ogos lepas di Sri Sayang Apartment, Pulau Pinang.

Ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail, 30, yang dituduh menerima habuan rasuah seks di Sri Sayang Apartment pada 14 Ogos lalu untuk membantu seorang bernama Mohamad Imran Abdullah memperoleh projek pembangunan bersama di Bandar Baru Seri Iskandar melibatkan Majlis Daerah Perak Tengah dibicarakan secara bersama dengan lima tertuduh berkenaan.

Khamis, 22 April 2010

Balik ke Driving Range

Kuala Sungai Burung yang menghadap Selat Melaka
-pusat pendaratan ikan
.

Nelayan baru pulang dari laut dengan hasil yang agak lumayan.

Ikon Pulau Pinang- Feri

Sudah agak lama meninggalkan bidang sukan ini dan kali terakhir bermain dengan pegawai Porim di Port Moresby pada tahun 2007. Dah tiga tahun tak sentuh kayu golf tetapi sejak digugurkan dari pejabat bermula awal bulan ini, tangan ini gatal sahaja nak ketok gola kecil itu. Bagai rasa nak ketok kepada orang saja.

Dah dua kali ke driving range yang pertama minggu lepas, lepas tu cuti seminggu sebab pinggang tergeliat dan lepas tu semalam bersama Afit. Habisla seorang 200 biji bola tu pun ambil masa 2 jam baru selesai. Biasala kat driving range ini nak pukul bola macamana pun tak pa sebab bola banyak dan ianya berbeza diatas padang sebenar kerana waktu bermain hanya yang ada sebiji bola saja. Jika itu hilang ka, tak jadi ka, mau kena penalti. Maka bertambahla pukulan nanti, jadi tripple boggey.

Tapi kali ini rasa kurang letih tu adala sebab mungkin dah terbiasa kut dan cuba berbagai batang kayu seperti iron 7, iron 3, driver, petiching dan sebagainya. Tetapi yang sedap juga adalah iron 7, letak-letak terus bola melambung mencecah 120m. Fuuhh........lega ingatkan dah hilang skill lama rupa-rupanya ada lagi.

Lepas jam 1200 tengahari, kedai tayar buat panggilan mengatakan sparepart yang aku order semalam dah sampai. Bukan apa tu, panggilan kocek aku la yang bakal terbang lagi. Kopak juga Rm130.00 kat kedai tu tapi apa boleh buat, semua kerana kereta, kalau tak jaga nanti lagi teruk sakit tu berjangkit. Dah la semalam tukar absorver dan RM400.00 belanja termasuk upah kerja.

Apa nak buat, hari ini tak tentu lagi nak pi driving sebab petang ni kena pi Pulau Pinang hantar abah aku nak duduk sana dua-tiga hari. Dia pun nak balik kampung juga maklumla dah lama tak balik kampung di Sungai Burung, Balik Pulau, Bukan tu dia rinndu nak tengok nelayan balik dari kelaut, tengok orang punggah ikan naik kedarat, makan ikan segar dan pi solat jumaat dimasjid. Semua ini bakal mengingatkan kembali kenangan lama beliau.

Jam 3.00 petang dah nak gerak mungkin malam sampai balik kut........

Isnin, 19 April 2010

Rencana di Berita Harian pada 19.4.2010





Rencana menarik mengenai Kedah yang ditulis oleh saudara Sobri Sudin bertajuk Kepimpinan Pas terajui Kedah semakin lemah. Sobri Sudin ini aku perasan adalah orang yang pernah ajak Setpol Sanusi Mohd Nor berdebat tempoh hari tetapi tidak dilayan. Ada-ada saja si Sobri ini cuba mengusik kerajaan negeri.

Tapi sayangnya kebanyakan fakta yang diberikan oleh beliau adalah tidak betul berkenaan pelaburan kerajaan negeri di Papua New Guinea dan walaupun begitu ia masih tersiar dalam ruangan akhbar perdana ini. Penulis ingin mengambil contoh berkenaan pelaburan sebuah anak syarikat di bawah PMBKed yang dikatakan sudah mengalami kerugian sedangkan syarikat tersebut belum pun memulakan perniagaan lagi. Apa yang berlaku sekarang hanyalah proses mendapatkan kelulusan dan dokumen-dokumen yang berkaitan perniagaan tersebut. Ini sudah sah satu Malaysia dan kepada pembaca akhbar Berita Harian hari ini sudah tentu menyalahkan pihak kerajaan negeri berkenaan dengan hal tersebut.

Sebenarnya fakta yang cuba dikemukakan oleh Sobri Sudin secara keseluruhan adalah tidak betul dan apabila tidak betul ia lebih menjurus kepada fitnah. Seperti apa yang berlaku tempoh hari pada hari mesyuarat terakhir bersama Yusrin, Salmi ada menyuarakan perkara berkenaan dengan kepentingan peribadi dalam hal pelaburan di Papua New Guinea tetapi setelah diminta dikemukan bukti beliau tergagap-gagap untuk berkata sehingga terdiam setelah ditengking kerana cuba menabur fitnah. Dosa besar menanti kepada pefitnah dan takutlah akan Allah.

Di sini saya ingin memaparkan semula apa yang ditulis oleh Sobri Sudin di dalam rencana terbitan 19.4.2010 berkenaan pelaburan di Papua New Guinea.

"Demikian juga pelaburan sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang membuat perniagaan di Papua New Guinea akhirnya kecundang apabila alami kerugian. Bila ditanya,komen sinis MB Kedah,'biasalah dalam pelaburan ada untung rugi. Isu dasarnya pelaburan itu menggunakan wang rakyat, apakah tidak dibuat kajian kemungkinan akan prospek untung rugi sebelum diteruskan pelaburan berkenaan'. "Bayangkan jika kegagalan ini dialami dibawah pentadbiran BN tentulah PAS Kedah akan mencanang serata negeri dalam ceramah politik mereka dengan tokok tambah cerita penglipur lara bagi menimbulkan kebencian rakyat".

Sekarang mari kita tengok apa yang cuba disuarakan oleh saudara Sobri Sudin :

a) Anak syarikat kerajaan negeri - sebenarnya bukan anak syarikat kerajaan negeri tetapi dibawah Perbadanan Menteri Besar yang diketuai oleh saudara Yusrin Adnan.

b) Perniagaan kecundang dan alami kerugian - sebenarnya pada peringkat sekarang kita cuma membelanjakan wang untuk membiayai kos logistik, dokumen dan perhubungan dengan tuan-tuan tanah. Sebenarnya perniagaan sebenar belum lagi bermula seperti menebang balak dan menanam getah atau sawit. Jika semua sudah selesai, barulah perniagaan sebenar bermula kerana proses dokumen belum lagi selesai. Jadi di sini saudara Sobri Sudin tidak mendapat gambaran sebenar berkenaan peraturan cara pelaburan atau perniagaan di sana. Mungkin beliau mendapat daripada sumber yang sudah sedia ingin menjahanamkan syarikat milik perbadanan ini.

c) Sedangkan MB sendiri pun memberitahu bahawa pelaburan bukan perniagaan mesti ada untung dan rugi. Contoh pelaburan yang gagal di PNG seperti HCM Berhad yang beribu pejabat di Kampung Pandan, Kuala Lumpur mengalami kerugian tetapi jumlahnya tidak dapat disiarkan disini.

Pemilik kepada konsesi ini adalah Peter Koipuna sebagai Pengarah Urusan syarikat tempatan telah mempelawa pelabur dari Malaysia iaitu Aman Timber (PNG) Limited untuk menjalankan kerja-kerja pembalakan dikawasan seluas 89,000 hektar di New Britain Timur, PNG. Aman adalah gabungan daripada Abdul Manaf dan Ahmad Najib dan dengan kerjasama kedua-dua orang ini mereka menjemput HCM dibawah Dato' Hasnul untuk melakukan pelaburan disana. Memanglah baik niat mereka untuk menambah kekayaan tetapi mereka kecundang adalah disebabkan kegagalan menyediakan peralatan kerja seperti mesin penarik, lori balak dan lain-lain.

Ini baru pelaburan kecundang dimana sudah RM20juta ringgit dilaburkan, kerja pembalakan pun sudah bergerak selama 12 bulan tetapi hasil yang diperolehi kurang dari modal. Lama kelamaan keputusan pihak atasan menutup terus operasi pembalakan disana.

d) Kajian tentang untung rugi sebelum berniaga - sebelum tandatangan dimeterai, sekumpulan pakar yang terdiri dari orang-orang MB, Konsultan Pertanian dan Pembalakan dan beberapa orang lagi pakar dalam bidang tersebut telah melawat kawasan dan menyediakan laporan berkaitan dengan pelaburan disana. Setelah pulang mereka menyediakan laporan tersebut kepada Majlis Pegawai Eksukutif Negeri untuk dipertimbangkan dan secara bulat suara cadangan ini diluluskan. Jadi pihak konsultan telah memberi jaminan bahawa pelaburan ini sangat menguntungkan dan barulah dengan restu MB tanda tangan dimeterai.

Semua pergerakan didalam pelaburan di PNG adalah dibawah selian MB dan beliau tahu setiap sen itu bergerak kemana. Adakah ini baru perlaburan permulaan negeri diseberang laut mesti ada pelbagai halangan dari pihak negeri sendiri. Ada yang berniat, jika projek ini gagal akan dibuat kenduri.

Ramai yang tidak faham cara perlaburan disana, jangan kata orang luar kadang-kadang staff sendiri sering menganggap belanjawan yang pergi ke PNG adalah dianggap hutang. Hartini sendiri menyimpan kata kunci komputernya sebagai Papua New Guinea dan kata biasannya adalah banyak hutang. Disini apa yang beliau tidak faham cuba dikelirukan dengan kejahilan sendiri.

Beliau membayangkan jika usaha ini dibawah BN dan menemui kegagalan, PAS akan mengoreng cerita dan isu ini dipelusuk negeri. Gagal yang macamana? Jika tahap sekarang baru membelanja untuk memproses dokumen sudah dikatakan kerugian sedangkan perniagaan sebenar belum lagi bermula, itu dinamakan jahil dan sombong. Lain kali rujuk kepada mereka-mereka yang terbabit secara langsung didalam industri ini. Ini tidak sumber diambil daripada mereka yang sudah ada hasad untuk melingkup usaha kerajaan negeri, sudah tentu rugi,rugi saja didalam kepala mereka.

Kerajaan BN dibawah pemerintahan Pak Syed dahulu pernah dipelawa melakukan pelaburan disana tetapi senyap begitu sahaja kerana takut rugi. Lebih rela mengagihkan hasil dalam negeri sesama kekawan dan membiarkan hutan teruk diperkosa. Bayangkan jika dahulu premium hanya dibayar antara RM500.00 hingga RM1,000.00 untuk satu hektar berbanding dengan nilai sekarang sekurang-kurangnya RM16,000.00 sehektar. Itulah kejayaan pemerintah sekarang dengan sebelumnya.

Dirasakan tiada apa yang patut dibanggakan dengan kerajaan negeri terdahulu kerana tidak melabur diluar. Ini kerana tiada keyakinan untuk mengembangkan sayap dan mungkin tidak berani untuk melabur diluar. Lihat apa yang terjadi dengan J-Corp, melabur di PNG dengan perladangan sawit disalah sebuah wilayah yang subur dengan pertanian. Sekarang syarikat tersebut 'New Britain Palm Oil Limited' adalah salah sebuah syarikat yang terbesar menyumbangkan pendapatan kepada Kumpulan Kulim dan sudah menjadi pengeluar minyak sawit terbesar di Pasifik Selatan. Siapa yang tidak bangga dengan prestasi syarikat dari Malaysia tersebut. Sebut saja Kulim, orang sana akan mengangkat ibu jari keatas.

Bab canang mencanang ni kerja orang politik dan mereka tahu hujung pangkalnya jika mencanangkan apa yang sepatutnya. Biarlah orang politik membuat kerja mereka kerana mereka telah dilantik untuk bercakap bagi pihak kita dan kita perlu bertanggungjawab apa yang akan diutarakan kepada umum. Sebelum berakhir, eloklah Sobri Sudin merujuk kepada saya terlebih dahulu tentang isikandung cerita pelaburan negeri di PNG sebelum menyiarkan didalam akhbar kerana saya amat kasihankan beliau yang terlalu daif berkenaan dengan fakta sebenar mengenai Papua New Guinea.

purnamagemilangfc.blogspot.com


Mulai hari ini anda boleh melawati blog Purnama Gemilang FC di alamat purnamagemilangfc.blogspot .com. Memandang kemajuan yang ditunjukkan oleh pasukan ini, saya rasa mereka perlu mempunyai blog sendiri.

Kegiatan kelab inii semakin sibuk dan aktitviti ertambah banyak maka setelah berbincang dengan pihak pengurusan kelab, mereka mencadangkan supaya PGFC mempunyai laman sendiri. Selamat melawat ke purnamagemilangfc.blogspot,co.

Jangan malu-malu dan segan-segan jika ingin melontarkan sebarang komen diblog tersebut kerana setiap patah perkataan anda akan dinilai.

Sabtu, 17 April 2010

Cantiknya Gunung Jerai






Sedar atau tidak aset negeri yang bernilai tinggi rupanya ada didepan mata. Hari-hari melewati kawa4san tersebut tanpa memandang ianya satu khazanah yang amat bernilai. Keluasan hutan Gunung Jerai melebihi 8,640 hektar..

Bayangkan isipadu balak dikawasan hutan simpan tersebut dianggarkan berjumlah 691,200 meter padu dan jika mengikut harga pasaran sekarang adalah dianggarkan secara purata iaitu RM500.00/m3 maka jumlah RM380,160,000.00 (anggaran kasar). Ini kiraan cuma dibuat secara purata jika diteliti betul-betul jumlah itu melebihi mungkin lebih dari itu.

Harga kayu sekarang sedang meningkat contohnya jika harga balau pada tahun 2005 berkisar sekitar RM925.00/m3 dan pada tahun 2009 harga tersebut telah menjadi RM1,835.00/m3. Perbezaan peningkatan harga tersebut melebihi 97% menandakan permintaan kayu sangatlah tinggi. Satu lagi contoh kayu balak seperti Cengal, kenaikkan harga sehingga 2009 menjadi RM2,290 dari RM1,268 pada tahun 2005 adalah sangat memberansangkan. Andaikata 25% hutan Gunung Jerai dipenuhi dengan kayu cengal, jadi hasilnya dianggarkan sejumlah RM 355,637,000.00.

Amat menakjubkan diusahakan tetapi memandangkan ia telah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal Bermutu Tinggi, jadi peranan yang dimainkan oleh Jabatan Hutan patut dipuji. Satu perkara yang harus diambil kira ialah semua data-data tersebut hendaklah ditolak dengan 30% sebagai zon keselamatan seperti pokok-pokok mati, kawasan curam dan berbatu dan kawasan perairan.

Ada orang berkata bancian yang dijalankan oleh pihak jabatan hutan tidak tepat dan data mereka tidak boleh dipercayai. Perkataan beliau itu masih tergiang-giang lagi macam baru semalam berlalu. Apakah beliau pernah pergi membuat lawatan bersama-sama pasukan bancian. Apa yang dikesalkan kerana fitnah ini tidak betul. Saya berani bercakap kerana mempunyai bukti akan kata-kata tersebut.

Berbalik kepada hasil negeri melalui perhutanan, keluasan hutan yang digazetkan sebagai Hutan Simpan dan Hutan Tadahan Air adalah seluas 121,904 hektar dan dengan perwartaan tersebut negeri kehilangan hasil anggaran sejumlam RM3 billion kerana kawasan tersebut tidak boleh ditebang balak. Jadi eloklah kerajaan pusat membayar pampasan kepada kerajaan negeri atas pengorbanan tersebut.

Keluasan sebenar Negeri Kedah adalah 942,600 hektar dan lebih daripada 36% masih berhutan dan dianggarkan berjumlah 339,336 hektar. Dari jumlah keluasan yang berbaki boleh dikatakan kesusutan jumlah keluasan hutan di negeri Kedah sudah mencapai tahap perlu berjaga-jaga. Dengan sistem kouta yang diamalkan oleh pemerintah negeri, adalah satu jalan selamat dalam usaha mengekalkan kestabilan hutan.

Contohnya sistem kouta ini dimestikan pada setiap tahun kerajaan negeri akan meluluskan lebih kurang 1,000 hektar kawasan Hutan Dara untuk diusahakan. Dan dari jumlah tersebut, ianya diagih-agihkan kepada pengusaha yang berjaya dan setelah selesai 1,000 hektar yang diusahakan itu, maka tiada lagi tender yang dikeluarkan pada tahun berkenaan sehinggalah beralih tahun barulah dibenarkan dibuka semula. Jika sistem ini diamalkan dengan jayanya, keresahan akibat dari kerakusan kita mengusahakan balak akan selesai.

Berbalik kepada tajuk utama ruangan ini ialah keindahan Gunung Jerai, jika diperhatikan dari jarak 40 km dari gunung, kita akan merasakan ianya puncak tertinggi dalam negeri Kedah tetapi sebenarnya tidak kerana puncak Gunung Bintang yang berada disempadan negeri Perak dan Kedah. Anggaran ketinggian puncak Gunung Bintang ialah 1,838 meter. Sebenarnya perkara ini kurang diberi perhatian kerana kedudukan istimewa Gunung Jerai.

Sebenarnya mengikut cerita lampau, Gunung Jerai ini pada suatu ketika dahulu adalah sebuah pulau bernama Pulau Serai dan lama-kelamaan ianya bercantum dengan tanah besar. Menjadi panduan kepada kapal-kapal yang hendak memasuki Lembah Bujang atas urusan perniagaan sejak kurun ke 5 Masihi hinggalah kurun ke 13M.

Bersambung...

Kehidupan monyet terancam di Gunung Jerai





Dalam perjalanan turun kebawah, kami terserempak dengan sekumpulan monyet di tepi jalan perlakuan mereka seperti mencaritkan sesuatu. Setelah diamati betul-betul monyet-monyet ini sedang mengoyak plastik.

Dengan baki roti yang ada didalam kereta, satu persatu roti aku lemparkan kepada monyet-monyet tersebut dan dengan pantas mereka menyambar balinga roti tersebut. Hampir dua buku roti aku diedarkan kepasa monyet-monyet tersebut dan aku sedih mereka ini sudah tidak pandai mencari makanan sendiri kerana habitat mereka telah diganggu menyebabkan mereka menjadi peminta sedekah.

Setelah selesai memberikan makanan kepada penghuni hutan tersebut dengan rasa puas smabil berikrar jika suatu hari nanti, Allah murahkan rezeki aku, akan beri seraga makanan untuk monyet-monyet tersebut seperti pisang, tembikai, roti dan sebagainya.

Kecewa dengan Muzium Perhutanan di Gunung Jerai




Dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Jerai, terlintas didalam hari nak singgah di Muzium Perhutanan yang terletak di kawasan perkelahan Sg. Teroi. Hajat hati nak tunjuk kat anak-anak hal ehwal hutan maklumla aku pun dari jalan yang sama.

Tiba di depan muzium dah nampak waktu operasi muzium iaitu setiap hari kecuali hari Jumaat. Tiba-tiba ternampak mangga didepan pintu masih bercantum dan keadaan suasana begitu tenang seolah-olah tiada orang. Mungkin pintu lain yang dibuka sebagai pintu utama dibangunan baru tetapi pintu tersebut aku tidak pergi periksa. Melepas peluang aku nak lawat muzium tersebut.

Hajat hati tak kesampaian terus turun kebawah.

Jumaat, 16 April 2010

Blog Panglima Nayan


Sedar tak sedar sudah setengah bulan bercuti dan hari ini aku bangun tersangatlah awal kerana ingin menikmati berita pagi dari Kedahlanie. Cungkil punya cungkil maka terjumpa blog baru dengan ruangan pertamanya ialah sembang kedai kopi. Anda boleh melawatinya di alamat di: pang5nayan.blogspot.com.

Semalam tidak ke Harvard kerana ada sedikit sibuk dan terus petangnya bermain bola. Dengan semangat bola baru, ramai juga budak-budak turun bermain petang semalam. Saja aku beli bola baru setelah bola lama dah macam bola ragbi. Untunglah duit jual surat khabar lama yang berjumlah RM31.50 masih berada dalam simpanan dan ditambah dengan beberapa ringgit lagi, dapatlah bola piala dunia. Jadilah untuk sementara waktu.

Bermain bola dengan budak2 ni taklah pressure sangat malahan lebih kepada enjoy dan banyak ketawa dari letih. Lama-lama letih juga jika semua defender naik nak jaringkan bola dan dibawah kosong. Aku puas menjerit-jerit minta bantuan supaya turun, mampus kalau macam ni, maklumlah bola kampung. Kalau bola naik, semua pemain berada diatas untuk nak buat gol, bila bola turun, mana ada kaki nak ligan bola lagi.

Sebelum azan maghrib, semua selesai dengan jaringan 6-4 yang memihak kepada pasukan aku, sementara aku hanya penjaga gol tetapi yang paling seronok ialah bila peluh keluar macam mandi. Lama dah tak merasa peluh sebegitu rupa sejak balik kerja di Kedah. Pagi hingga malam, kerja-kerja akhir-akhirnya kena buang juga kerana beberapa sebab yang direkakan.

Nanti kita berjumpa disebab-sebab kenapa aku dan beberapa rakan terpelanting dari syarikat lama.

Rabu, 14 April 2010

Guar Chempedak


Sebuah bandar yang strategik kerana kedudukannya di pertengahan antara Bandaraya Alor Setar dan Bandar Perniagaan dan Perindustrian Sg. Petani. Oleh kerana kedudukkannya di jalan besar dan mempunyai empat simpang, jika dari timur ialah Bukit Jenun, Pokok Tai, Sg. Rotan, Guar Stesen dan Banggul Lalang.

Arah barat ialah Teroi, Sg. Yan dan Yan Besar dan terletak dalam Parlimen Jerai yang diwakili oleh Ustaz Firdaus dan Adun Guar Chempedak iaitu Dato'

Isnin, 12 April 2010

Kampung Chat, Benta, Kuala Lipis

Gambar-gambar sekitar Kampung Chat yang dirakam ketika berkunjung kesana pada lewat bulan Mac 2010 yang lalu.

Ahad, 11 April 2010

Ulasan Perlawanan Akhir Piala FA

Kelihatan Rahman dan Kamarul begitu asyik
menonton perlawanan akhir yang menarik.

Final perlawanan bolasepak peringkat Daerah Kuala Muda/ Yan
pada tahun 1986 di padang SMK Merbok antara SMI dengan
SMS Sultan Muhammad Jiwa berkesudahan dengan jaringan 7-4.



Semalam aku tak masuk stadium sebab sampai lewat kesana jadi aku terus pi pekena nasi beriani di Bangi (JM Beriani). Nasib baik kedai tu ada tayang bola dan menengeklah aku didalam kedai tersebut. Semasa dalam perjalanan ke stadium pada jam 7.30 sahabat aku Habib Karim dah pun masuk stadium tapi itu janji dia dengan aku kalau lewat lebih dari masa tu kira burnla tiket.

Aku suruh memba yang bawa kereta cari siaran didalam radio kut2 ada tapi langsung tak siar. Ok telepon Habib dan SMS Zaid tanya kedudukan terkini masih lagi 0-0. Lega rasanya tapi masa tu dah main 15 minit.

Sampai separuh masa pertama tamat, kedudukan sudah seri 1-1. Hasil jaringan pada minit ke 27 dan 6 minit kemudian. Itu satu bab tetapi kesempatan yang sempat aku tengok ialah kira-kira 20 minit sebelum tamat masa sebenar hinggalah tamat sepakan penalti. Peluang terbaik Negeri Sembilan tiba pada minit 87 apabila mendapat bola dengan hanya berdepan dengan 2 pertahanan Kedah. sepatutnya status beliau sebagai penyerang kebangsaan sudah tentu tiada masalah dengan situasi tersebut. Beliau hanya perlu mengelecek dua orang pemain tersebut terlebih dahulu sebelum merembat kedalam gol.

Ini kemungkinan beliau gugup atau tiada idea untuk menjaringkan gol tersebut. Itulan standard penyerang kebangsaan zaman sekarang seolah-olah tiada kualiti dan bakat. Aku pernah lalu situasi begitu pada 1980, itu kelayakan Olimpik ke Moscow di Kuala Lumpur. Masa itu final antara dua seteru kuat Asia yakni Malaysia dan Korea Selatan. Dalam perlawanan akhir pengulasnya ialah Jamaluddin Alias. Berlangsung di Stadium Merdeka, tempat keramat skuad Malaysia sejak 1957 hinggalah sebelum stadium Bukit Jalil dibina.

Bola yang dihantar oleh Shukur Salleh terus kekaki Hassan Sani dan meluru bagai peluru Hassan mengelecek beberapa pemain Korea Selatan sebelum diumpan kepada James Wong. James dengan golekan maut berdaya mengelirukan 2 orang pertahanan Korea Selatan sebelum merembat masuk kegawang lawan. Kedudukan terus berubah menjadi 2-1 kira-kira 4 minit perlawanan akan ditamatkan. Sebelum ini gol pertama Malaysia dijaringkan oleh Bakri Ibni sebelum disamakan oleh pasukan lawan.

Dengan daya kreatif Hassan membawa bola dari tengah dan mengelecek beberapa pemain Korea sehingga pengulas perlawanan Jamaluddin Alias meneriak ' Hassan cucuk Hassan cucuk Hassan dan Hassan kepada James'. Itulah kreatifnya penyerang waktu dahulu dengan daya usaha sendiri mencipta gol tanpa membuat rembatan dari jarak jauh.

Kedudukan sama seperti Zakuan pada malam tersebut dimana selepas beliau menerima bola terus mencari ruang sedikit dan merembat dikawasan yang sudah ditutup atau dibaca oleh pemain lawan. itu namanya apa sebegitu. Masih ingat lagi ketika Malaysia mengadakan persahabatan dengan Arsenal di Kuala Lumpur, aruah Dato' Mokhtar mengelecek beberapa pemain Arsenal dari kawasan sendiri hinggalah menjaringkan gol. Cuba lihat youtube kalau anda kurang pasti.

Sepanjang 30 minit masa tambahan, pemain sudah pun keletihan dan kurang menyengat cuma semua mengharapkan perlawanan tamat dengan sepakan penalti. Ternyata niat mereka terkabul dimana sebanyak 7 sepakan penalti dan hanya memenangkan Negeri Sembilan.

Aku nampak puncanya bermula dari Helmi, apabila beliau terlalu yakin dengan kemenangan apabila sebelum itu sepakan dari pasukan N9 (Aidil) melambung tinggi. Apabila Helimi mengambil giliran untuk menyepak, beliau seolah-olah merasakan Kedah akan menang lagi Piala FA dengan senyum sinis kepada lawan, menepuk-nepuk dada seolah2 memberitahu lawan bahawa Kedah akan menang.

Terlalu yakin akan menang, Helmi terus melambung bola tinggi keatas tiang gol sedangkan penjaga gol sudah tertewas disebelah arah kanan. Mat Sabree Abu sudah keletihan dan bercelaru arah mahu memasukkan bola dalam gol. Aku rasa Sabree ni semasa hendak membuat sepakan penalti belaiu kehilangan arah bola sebelah mana mahu memasukkan bola. Semasa berlari untuk menyepak bola, fikiran atau tumpuan beliau jadi kacau samada hendak menyepak kekiri atau kanan.

Tiba dibola dengan lemahnya beliau menyepak lembut bola kearah kanan tiang gol lawan. Lalu penjaga gol Negeri Sembilan pun membaca arah bola tersebut dan menepisnya, maka menanglah kali kedua Piala FA sejak 2003.

Syabas kepada kedua-dua pasukan yang berjaya mempamerkan mutu permainan yang baik dan kepada Kedah cuba lagi pada final Piala Malaysia nanti. Seperti kata Yusrin melalui smsnya, Kedah tiada penyudah dan perlu mencari penyerang (beli penyerang) tetapi aku balas tak payahla, kita cari pada kejohanan Piala MB nanti. Tentu ada sebutir penyerang atau pemain berbakat yang bakal dicungkil dari kejohanan yang bakal berlangsung pada bulan Mei nanti.

Biar Jasa Jadi Kenangan akan aku ingat sampai bila-bila kerana ia adalah ilham aruah Dato' Paduka Ahmad Basri bin Mohd. Akil.

Sabtu, 10 April 2010

Doakan Kemenangan Pasukan Hijau Kuning di Bukit Jalil.


Semalam bertolak dari Gurun ke Bukit Jalil semata-mata untuk tengok bola Final antara Kedah dan Negeri Sembilan. PAgi tadi tiba di Hentian Sg. Buluh (Restoran Jejantas) dah ramai penyokong setia tiba di KL.

Termasuklah bas Purnama Gemilang dengan aneka ragam. Malam ini bersama-sama kita doakan kemenangan wira-wira kita di Bulit Jalil. Amin..................selamat menyokong dan berjuang duhai pemain dan penyokong. Aku yakin Kedah akan menang malam ini.

Jumpa disana dari dari Guar Chempedak dengan sayang.

Doakan kemenangan pasuka Hijau Kuning

Semalam bertolak dari Gurun ke Bukit Jalil semata-mata untuk tengok bola Final antara Kedah dan Negeri Sembilan. PAgi tadi tiba di Hentian Sg. Buluh (Restoran Jejantas) dah ramai penyokong setia tiba di KL.

Termasuklah bas Purnama Gemilang dengan aneka ragam. Malam ini bersama-sama kita doakan kemenangan wira-wira kita di Bulit Jalil. Amin..................selamat menyokong dan berjuang duhai pemain dan penyokong. Aku yakin Kedah akan menang malam ini.

Jumpa disana.

Jumaat, 9 April 2010

Kemenangan besar di Lembah Kelang 7-0

Guar Chempedak Trade Mark - pokok kurma depan kedai Zul
Sobri tersenyum apabila pasukannya berjaya membenam Jaguh Lembah Kelang dengan jaringan 7-0.

Semalam lebih kurang jam 8.30 malam, berita yang diterima dari Selayang sungguh menakjubkan dimana skuad DUN Guar Chempedak telah membelasah lawan dengan jaringan 7-0. Aku sendiri pun terkejut bila Adi menelepon dari Kawasan Rehat Rawang. Aku sangka mereka telah membelasah pasukan sekolah mana-mana ka.

Sebenarnya bukanlah pasukan Piala Presiden Selangor seperti yang dirancang tetapi hanyalah pasukan tempatan iaitu Pilihan Pemuda Parlimen Selayang dan diubah bukan distadium tetapi hanyalah di padang sebuah taman di Selayang.

Apa pun tahniah buat Purnama Gemilang kerana membenam pasukan dari Lembah Kelang dengan jaringan yang begitu besar.

Sebelum perlawanan mereka telah dibawa melawat persidangan parlimen di Bangunan Parlimen dan melawat Menara Berkembar Petronas. Apa yang lebih penting disini adalah kesepakatan mereka didalam memberi kerjasam pada pasukan dan pengurusan dan mereka berjaya melakukan walaupun bukan di tempat sendiri.

Apa pun dengan jaringan yang begitu besar, sekali lagi ucapan tahniah dan syabas kepada Purnama Gemilang FC dan itu sudah menjadi 'benchmark' untuk anda semua meneruskan perlawanan selepas ini dan kekalkan rentak juara anda.

Selasa, 6 April 2010

Skuad Pilihan Pemuda Parlimen Selayang




Sejarah tercipta buat pertama kalinya pasukan Purnama Gemilang akan bertandang ke Lembah Kelang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Skuad Pemuda Umno Bahagian Selayang di Padang Taman Selayang Indah.

Rombongan akan berlepas pada malam khamis dan dijangka tiba pada jam 6 pagi. Disamping itu juga, rombongan ini akan dibawa memasuki parlimen untuk melihat dewan bersidang. Ini merupakan satu kesempatan yang terbaik diperolehi oleh ahli-ahli pasukan ini. Sudah tentu Kapten Pasukan gembira kerana ini sudah semesti ada kena mengena dengan subjek Pengajian Am beliau. Diharapkan semua peserta rombongan dapat mengenakan pakaian yang sesuai semasa berada di dalam dewan nanti dan mestilah berdisplin supaya nama bahagian tidak tercemar.

Pada sebelah petangnya pula, rombongan akan dibawa bersiar-siar diseluruh kawasan Kuala Lumpur sementara menanti jam 8.00. Diharapkan skuad ini dapat bermain seperti biasa dan jangan ada perasaan terlalu menghormati lawan. Jika anda bersifat sedemikian, sudah tentu anda tidak dapat bermain dengan baik. Anggaplah taraf mereka lebih bawah daripada kamu dan kamu mesti bertindaklah lebih hebat daripada mereka.

Apa pun diucapkan selamat berjuang dengan sebaik mungkin dan apa pun keputusan ia tidak menjejaskan mutu permainan kamu. Saya yakin kamu boleh mengatasi mereka dengan jaringan yang besar. Selamat berjuang duhai perwira Guar Chempedak.

Rombongan ke Bukit Jalil

Adi - 0195212488

Purnama Gemilang secara tradisinya akan membuat rombongan ke Bukit Jalil sempena perlawanan final Piala FA antara Kedah dan Negeri Sembilan. Perlawanan itu akan berlangsung pada 10.4.2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Diberitakan 3 bas rombongan dari Guar Chempedak akan berangkat ke Bukit Jalil dan kepada peminat bolasepak Hijau Kuning yang berminat untuk menyertai rombongan ini sila hubungi Adi di talian 0195212488 untuk tempahan tiket. Bayaran sebanyak RM85.00 dikenakan termasuk tiket perlawanan. Tempahan juga boleh dibuat dikaunter Purnama Gemilang.

Pada hari Sabtu bersamaan 10.4.2010, semua peminat yang sudah mendaftar dikehendaki berhimpun di Stesen Bas Ekpress Guar Chempedak pada jam 9.00 pagi. Rombongan dijangka berlepas pada jam 11.00. Sebelum berlepas, semua peminat dikehendaki berlatih menyanyi lagu Hijau Kuning sebelum menaiki bas . Kemudian bacaan doa perjalanan akan dibacakan oleh saudara Habib dan azan akan diperdengarkan sebelum bas berlepas.

Diharapkan semua penyokong akan memberi persembahan yang terbaik semasa di stadium dan pergi dan pulang dengan selamat.

Stesen Keretapi Ipoh





Ipoh merupakan antara bandaraya awal yang pesat membangun sewaktu zaman bijih timah bermaharajalela. Pihak Inggeris sedar bahawa pengangkutan darat terutamanya keretapi adalah paling baik dan pada tahun 1885, landasan keretapi pertama dibina dan dihubungkan antara Port Weld (Kuala Sepatang) dan Taiping.

Sejurus kemudian landasan antara Ipoh dan Taiping disambungkan seterusnya hinggalah selesai dari utara hinggalah ke Tanjung Pagar di Singapura. Aku cukup sinonim dengan keretapi kerana membesar ditepi landasan keretapi. Sejak dilahirkan di Bukit Pinang juga ditepi landasan keretapi hinggalah hari ini aku masih setia dengan pengangkutan darat tertua di Malaysia.

Sebenarnya apa yang ingin aku ceritakan ialah kira-kira 20 tahun lalu pada 1991 berlaku kepada seorang sahabat aku bernama Shamsul Hisham. Pemuda kacak dari Air Merbau, Jasin dan pernah tinggal di Taiping hingga tingkatan 3 dan mengikut ayahnya bertugas sebagai anggota polis disana. Beliau cukup sayang dengan bandar Taiping sehingga kini.

Sewaktu kami mengadakan lawatan panjang semasa kursus perhutanan dahulu, kami berkhemah di Air Terjun Ulu Kinta. Setiap malam Sabtu, pasar malam diadakan dikawasan tersebut dan kami mengambil kesempatan untuk mencari keperluan perkhemahan.

Suatu malam, aku, Samsul dan Azmi Sentewong keluar ke pasar malam dengan menaiki bas. Setibanya dipasar malam, kami tidak turun dan terus ke Ipoh. Si Samsul beria-ia sangat hendak pulang ke Melaka pada malam tersebut. Jadi kami pun ke Stesen Keretapi Ipoh untuk membeli tiket ke Kuala Lumpur. Mujurlah malam tersebut tiket masih banyak belum terjual. Keretapi dijangka tiba jam 1.00 pagi dan kami tiba di stesen tersebut kira-kira jam 9.00 malam.

Selepas medapatkan tiket, pekena dahulu apa yang patut lalu aku dan Mie pulang ke kawasan perkhemahan di Ulu Kinta. Samsul memang polisi beliau, setiap hari jumaat, beliau mesti pulang untuk menolong mak Ngahnya membuat karipap. Itu satu bagusnya Samsul kerana sampai sekarang aku masih teringat kekalutannya hendak ke stesen keretapi.

Raja Kamarulzaman

Gambar ini diambil pada tahun 1984 bagi penghuni Dorm 8, Raja dibelakang penulis.
Raja Kamarulzaman bin Raja Osman



Raja Kamarulzaman bekas rakan sebilik aku sejak 1984 di SMI, Sg. Petani. Sejak meninggalkan sekolah pada 1986 sehingga 2007 kami bertemu semula. Itu pun setelah rakan-rakan lama mengadakan reunion di Kedai Kopi Shah Alam.

Minggu lepas, sewaktu aku ke Bangi untuk mengiringi bos aku pindah, aku berpeluang bertemu beliau semula. Kali ini aku perhatikan dengan mata aku sendiri hasil kejayaan beliau sebagai tokey kedai minyak dan kedai buku. Aku rasa kedai makan disebelah kedai buku pun milik beliau tetapi beliau masih menafikan.

Banyakla cerita antara kami berlangsung bermula dengan kedudukan kerajaan Kedah terkini hinggalah ke group sembang kami. Apa yang dibincangkan adalah rahsia antara aku dan dia.
Dengan izin beliau, dapatlah aku merakamkan stesen minyak dan kedai buku beliau buat tatapan kita semua.

Pemilihan bagi DUN Guar Chempedak

Nasir sedang menimbang bola
Habib Karim

Semalam di Kedai Makan Nasir Mee Bandung, Habib telah memberitahu bahawa jika menurut peraturan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur, beliau cukup yakin dengan prestasi pemain-pemainya setakat hari ini. Malahan setiap hari ada muka baru yang ingin menyertai pasukan Purnama Gemilang.

Jadi, menurut beliau pemilihan pemain untuk mewakili DUN Guar Chempedak secara rasminya tidak akan dibuat dan menggunapakai tenaga yang sedia ada. Kerisauan beliau berakhir dengan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak PMBKed.

Apa yang penting sekarang ialah pemantapan permainan pasukan beliau dan displin pemain. Beliau juga mengatakan bahawa setiap pemain mesti mempunyai tanggungjawab sendiri. Sikap besar kepala dan pentingkan diri sendiri usahlah diamalkan didalam pasukkan. Beliau sendiri telah menghabiskan beribu-ribu ringgit semata-mata ingin melihat pasukan ini berjaya.

Ada pemain yang merasakan dirinya sudah hebat dan berkebolehan lebih baik dari rakan sepasukan, mula meminta atau demanding dengan izin dalam pasukanya. Jika pemain ini dikekalkan, apa yang dibimbangkan ialah merebaknya barah kepada pemain yang lain. Oleh itu tindakan sewajarnya ialah mengantungkan segera pemain tersebut buat sementara waktu.

Sikap yang sedemikian amat merugikan pemain tersebut diharapkan belaiu segera menjadi insaf demi masa depan.

Hadiah Kemenangan


Syabas kepada pasukan Purnama Gemilang yang baru sahaja menjadi naib juara di liga Senator Dato' Seri Jamil Khir Baharom dan hadiah kemenangan mereka diberikan oleh pihak pengurusan untuk melancong ke Hadtyai.

Semua pemain yang tersenarai didalam perlawanan akhir lalu berkesempatan melancong kesana dan bermalam disebuah hotel 3 bintang. Harap-harap mereka dapat mengawal diri semasa disana yang sangat terkenal sebagai kota hiburan. Kesemua perbelanjaan ditanggung oleh pihak pengurusan dan selepas kembali dari Thailand semangat mereka begitu berkobar-kobar apabila bertemu dengan pasukan Uitm Merbok dalam perlawanan persahabatan petang semalam.

Mereka berjaya membelasah pasukan tersebut dengan jaringan 3-1. Walaupun perlawanan persahabatan, mereka bermain seolah-olah bermain dalam perlawanan final. Ini mungkin bahang panas dari Hadtyai yang masih menghantui mereka. Inilah perlawanan persahabatan kedua setelah seri 2-2 dengan pasukan Naza FC selepas meyertai kejohanan besar.

Difahamkan kesemua pemain yang sebelum ini bermain untuk pasukan Purnama Gemilang layak menyertai ke kejohanan Piala Menteri Besar. Didalam syarat tersebut pemain hendaklah berusia antara 18 tahun hingga ke 25 tahun dan bermastautin dimana-mana daerah didalam negeri Kedah.

Untuk liga tersebut, sebelum layak keperlawanan sebenar, mereka hendaklah menjadi juara zon terlebih dahulu. Bersama-sama DUN Guar Chempedak termasuklah Gurun, Bukit Selambau, Bakar Arang, Tanjung Dawai dan Sungai Limau. Juara Zon akan diberi hadiah wan tunai sebanyak Rm1,000 dan layak mewakili zon untuk merebut Piala Menteri Besar. Setiap zon akan dibahagikan kepada 2 kumpulan dan juara setiap kumpulan akan berentap di final. Berkemungkinan final akan diadakan di Stadium Darulaman dan diharapkan pihak penganjur akan berbuat demikian.

Apa pun tahniah diucapkan kepada Purnama Gemilang kerana berjaya mewakili DUN Guar Chempedak moga-moga mereka layak difinal nanti.

Isnin, 5 April 2010

Cerita-cerita menarik akan muncul

Sepanjang minggu ini dan depan, beberapa cerita menarik akan menyusul seperti :

a) SK Kampung Chat, Benta
b) Perjalanan pulang dari Pahang
c) Perjalanan ke Bangi
d) Meronda disekitar Kuala Lumpur
e) Singgah di Stesen Keretapi Ipoh
f) Final Piala FA-Kedah v Negeri Sembilan
g) Rumah Tradisi Pahang