Ahad, 29 November 2009

Reunion SKGC 1981 (Darjah 6)



Sekali lagi semalam pada jam 9.00 malam bertarikh 27.11.2009, kami bekas-bekas pelajar SK Guar Chempak berjumpa kembali. Kali ini kehadiran meningkat sebanyak 100% dimana dengan kehadiran bekas pelajar perempuan iaitu Zuhaida, Rosita, Huzaimah dan Suria.

Amat terharu dengan kehadiran mereka walaupun ramai juga telah diberitahu seperti yati, roslizan, awanis dan sebagainya tetapi mereka meminta maaf kerana tidak dapat bersama kerana ada tugasan lain yang lebih penting. Aku sampai agak lewat setelah pulang dari rumah mentua di SP iaitu kira-kira jam 9.30 walaupun jadual asalnya bermula sejam lebih awal.

Rosita pulang pada jam 10.15 kerana komitmen keluarga sebelah mertua dan sampat juga kami bergambar kenangan. Yang lain itu pulang setengah jam kemudian dan bagi pihak perempuan aku rasa memang hebat kerana dengan keizinan suami masing-masing, mereka kesini malam tadi.

Semasa sesi memperkenalkan diri yang dibuat secara giliran dimulai dengan pengerusi majlis saudara Nizar Yusuf hinggalah terakhir aku sendiri. Ingat dah tak selamat dari sesi tersebut tetapi aku mengalah juga akhirnya.

Keseluruhan kawan-kawan lama yang datang pada malam tersebut semuanya sudah berjaya membina kerjaya masing-masing dan aku merasa bangga dengan kejayaan tersebut dan diharapkan dikekalkan apa yang menjadi milik kita sekarang.

Teringin juga aku nak bercerita dengan rakan-rakan perempuan tetapi mereka agak lewat dan terpaksa pulang agak awal dan diharapkan keadaan ini berterusan.

Suria Baharom, berjanji akan membantu kami pada perjumpaan akan datang dan aku fikir perjumpaan seterusnya ialah majlis hari keluarga yang bakal diadakan pada cuti hari raya Cina dan dijalankan di Mini Stadium Guar Chempedak (Padang Belia). Eloklah mulai pada hari ini, difikiran apakah agenda akan dijalankan pada cuti raya cina nanti.

Diharapkan saudara Zailani, Nasir Che Tam dan Nasir Rahman dapat memikirkannya.

Khamis, 26 November 2009

Isnin, 23 November 2009

Project Score A















Kebawah DYMM Tunku Sultan Kedah dan Sultanah Bahiyah (almarhum)

Program ini adalah sesuatu yang paling baru aku dapat untuk pendidikan sekolah rendah dan menengah. Jika program ni aku dapat sejak aku masih sekolah dulu kan bagus.

Permulaan sejak 10 tahun yang lalu iaitu 1999, ianya direka dan dibuat R&D hingga 2002 dan pada tahun 2003 barulah program ini dilancarkan bersama projek sekolah perintis. Kementerian berkenaan sudah pun mengesahkan keberkesanan program tersebut dan testimoninya amat memeransangkan.

Dr. Shukri Abdullah, Pakar Motivasi dan Puan Rokiah Alias, Pengetua Cemerlang Malaysia dari Tunku Kursiah telah pun mengiktiraf program ini dan memberi sokongan dan prinsip 6P yang diberikan oleh Cikgu Rokiah adalah seperti berikut iaitu pelengkap, pemantau, prime time, pengurusan masa, pemangkin dan personal & emotional bonding.

Jumaat lalu bersama 20.11.2009, jiran aku Abang Fadzli telah mengadakan sesi penerangan bagi program tersebut dirumahnya dan menjemput aku menjadi ahli dan insyaalah sedikit masa lagi aku pun turut berminat. Perkara ini aku panjangkan kepada bos aku dan beliau pun turut berminat untuk mengadakan sesi penerangan bagi program tersebut.

Katanya, jika program ini dapat diperkenalkan disekolah-sekolah sekitar negeri Kedah terutamanya sekolah agama rakyat yang dibawah seliaan kerajaan negeri itu sudah memadai. Dan beliau menjemput wakil daripada kumpulan tersebut ke pejabat untuk penerangan lebih lanjut lagi.

Program Score A ialah satu kaedah pembelajaran secara bestari. Satu kaedah pembelajaran interaktif yang sememangnya menarik minat buku dan tiada lagi bebanan buku. Program ini juga adalah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mahukan pembelajaran secara ICT dan pada 2010, perlaksanaan sekolah bestari akan bermula secara sepenuhnya dengan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam RMK-9 melalui e-learning.

Jika kaedah pembelajaran terdahulu atau secara tradisional pelajar memerlukanng masa yang lebih untuk memeriksa jawapan sendiri, tidak boleh mengulang soalan,tiada pemantauan masa, terlalu banyak buku latihan hingga membosankan pelajar dan tidak interaktif.

Kenapa program ini dicadangkan kerana pelajar boleh pergi sekolah seperti biasa, ulangkaji, buat kerja sekolah dan latihan yang diberikan oleh guru sekolah. Itu satu input dari sekolah sebagai input yang mesti dan pertama diperolehi tetapi dengan program ini pelajar juga dapat belajar topik yang sudah diajar disekolah melalui komputer/internet, boleh mencuba topik baru dan menduduki peperiksaan percubaan dan ala peperiksaan sebenar dan markah lulus mesti melebihi 80% dan secara tidak langsung pelajar ini berkeyakinan tinggi bila menduduki peperiksaan sebenar.

Jadi kenapa kita tidak mencuba dahulu dan cubalah demi kebahagiaan kita bersama dan keputusan pelajar yang menyertai program ini cukup baik dan diceritakan disini ada seorang pelajar cina yang tahun pertama disekolah menengah mendapat tempat 40 dari 42 pelajar dan apabila keputusan PMR keluar beliau berjaya mendapat 8A.

Jadi apa tunggu lagi, jika berkenan sila hubungi saya untuk sesi penerangan dan soal jawab di Gurun dan sesiapa yang menjadi ahli wajib mengikuti kursus oreintasi pengedar di Kuala Lumpur dengan sendiri pembiayaan.

Berfikir-fikirlah demi kebahagiaan keluarga kita dan selamat mencuba.

Sabtu, 21 November 2009

Istilah Kroni........................



Sambungan dari tajuk guru dan rakan permulaan dan terhenti di rakan sekelas menguasai semua acara sekolah tetapi bukan hendak diterjemahkan monopoli. Kronisme telah wujud sejak aku darjah enam lagi kerana kami sekelas menguasai permainan sekolah hampir kesemuanya hinggakan pemain simpanan punn dikuasai oleh rakan sekelas walaupun tidak pernah memegang raket.

Bermula diawal musim ialah bolasepak dimana pemain utamanya terdiri dari berbagai kelas tetapi begitu juga sepaktakraw, badminton dan bola keranjang. Yang uniknya sekolah aku dulu dimana kami satu-satunya sekolah aliran kebangsaan dalam daerah Yan yang menyertai pertandingan bolakeranjang ke peringkat daerah. Yang lainnya ialah sekolah Cina dan kesemua perlawanan yang kami sertai mengalami kekalahan tetapi tetap melawan kerana tiada pernah pulang dengan tangan kosong.

Apa yang menarik ialah perlawanan terakhir melawan sekolah Yang Kao berlanjutan sampai 2 hari kerana pada hari pertama cuaca sudah gelap kerana permainan tinggal satu quarter lagi dan keesokkan harinya disambungkan perlawanan tersebut dengan kami mengalami kekalahan tipis.Sebenarnya perlawanan tersebut begitu rancak dan kami hampir menguasai perlawanan dan mata hinggakan hari pertama tu kami mendahului pasukan sekolah tersebut dan aku rasa itulah perlawanan terhebat umpama Chicago Bulls berentap dengan LA Lakers.

Ini kerana maruah mereka sebagai sekolah cina yang menguasai permainan bola keranjang, jika kalah mungkin tercemar ditangan murid melayu dan mungkin juga balas dendam kerana sekolah tersebut sudah mengalami kekalahan dalam permainan badminton ditangan kami pada peringkat separuh akhir ditangan kami.

Itu sejarah dan hingga kini aku hanya menyentuh bola keranjang anak aku dan hanya menunjukkan sedikit skill yang masih aku ingat. Kini peristiwa tersebut sudah berlalu hampir 28 tahun tetapi tetap segar diingatan.

Diawal musim persekolahan semasa darjah enam, akhir januari kejohanan olahraga antara rumah termasuklah sekolah Yang Kao yang dinamakan sebagai Bunga Orkid turut mengambil bahagian. Sebelum itu kami terdiri dari bunga kenanga, melor, teratai dan cempa secara tradisinya dijemput dan memeriahkan kejohanan tersebut.

Jika dulu hatta sukan sekolah rendah pun kehadiran penonton yang terdiri dari ibubapa dan orang kampung sekitar sudah memadai memenuhi setiap sudut padang. ia umpama bertarung di stadium yang sesak dengan penonton dan sebagai bukti aku lampirkan sekeping gambar pada hari kejohanan tersebut.

Gambar diatas menunjukan acara 400m akan dilepaskan dan cuba lihat kehadiran penonton dibelakang peserta yang akan bertanding padat sekali. Amat membanggakan dengan kehadiran penonton tetapi jika dibandingkan pada zaman sekarang, amat menyedihkan kerana sukan tahunan sekolah kini hanya dihadiri oleh pelajar dan guru sendiri.

Paling akhir aku menyaksikan sukan sekolah ialah pada tahun 2006 di Sik dan keputusan dan kehadiran penonton amat sedikit dan tiada kemeriahan. Ini mungkin strategi sekolah dan perancangan mereka dan hanya pengetuanya sahaja mengetahui.

Pada hari yang sama iaitu hari sukan aku, nasir chetam,fauzi, shidi, zul lepek dan baba masih di SP. Kami terpilih mewakili pasukan daerah Yan ke peringkat Kedah Tengah dan tinggal dirumah penolong kanan sekolah selama 3 hari. Perlawanan pertama menang dengan daerah Kuala Muda 1 serta masuk final pada padawaktu tengah hari dan kalah disengajakan kerana petang akan dimulakan acara sukan sekolah.

Setelah tamat perlawanan badminton kami terus ke sekolah yang dibawa oleh Cikgu Yusuf dan sempat juga aku bertanding acara 100m dan menang emas dan seterusnya menyertai acara trek yang lain seperti 4x100 dan 4x400 serta 400m dan mungkin ditakdirkan aku memenangi emas kesemuanya.

Selesai sukan kami diistiharkan johan kejohanan dengan memperolehi markah tertinggi dan bergambar bersama peserta dan guru-guru yang membimbing kami (sila lihat gambar diatas).

Selesai kejohanan tersebut, kami yang memenangi emas dan perak terpilih mewakili sekolah kekejohanan daerah yang diadakan di Guar Chempedak selepas 3 minggu kemudian.

Khamis, 19 November 2009

Guru pertama dan rakan-rakan permulaan












Sejak mula masuk sekolah pada 1976, sejak itu aku keluar dari kepompong, yakni kampung Titi Bom. Nama kampung ini sebenarnya unik kerana ia diambil sempena kesan pengeboman askar Jepun keatas jambatan keretapi yang terletak didalam kawasan kampung tersebut pada zaman perang dunia kedua.

Jadi bermakna kampung tersebut telah dibuka lebih 100 tahun oleh keturunan Hj. Daud yang berasal dari selatan siam. Berdasarkan pemilikan tanah dikampung tersebut sebahagian besar oleh keturunan mereka, tidak syak lagi bahawa keluarga tersebut adalah peneroka kampung tersebut.

Boleh dikatakan hampir penduduk kampung tersebut adalah petani seperti pesawah, penoreh getah, pekebun sayur dan sebilangan kecil bekerja dengan kerajaan. Itu waktu aku masih disekolah rendah tetapi selepas itu keadaan setelah aku kembali semula pada tahun ini (2009) sewaktu menziarahi aruah Che Lang meninggal.

Hari pertama aku disekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Guar Chempedak aku ditempatkan di kelas IK. Bersama-sama aku waktu itu ialah Khairul Fitri, Mat Ajet, Rofat, Zaidi, Jamil, Rosita, Rodziah, Zainol, Sabarudin, Norhazita, Sharifah, Suzana, Wan dan Cikgu Hajjah Rafeah binti Shuhada yakni guru kelas.

Aku minta maafla kerana ada beberapa yang terus tenggelam dalam ingatan aku dan sesiapa yang melihat foto ini, diminta perkenalkan sekali lagi diri anda.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada cikgu-cikga seperti cikgu hajjah, cikgu shamsiah yang begitu tekun membolehkan aku membaca hingga kini. Begitu gigihnya cikgu-cikgu kami mengajar sehingga akhir tahun, barulah dapat aku membaca, menulis dan mengira. Aku sendiri pun tidak berapa ingat peristiwa-peristiwa semasa darjah satu tetapi terbayangla sedikit demi sedikit seperti berlari dipadang bola, duit hilang dan sebagainya.

Semasa hari guru pada 16 Mei 1976, setiap kelas mengambil bahagian dan kami kena berlari 60m dan hadiah hanya 3 dan aku berjaya memiliki hadiah coklat sebanyak 3 bungkus kerana memenangi tempat pertama dan hadiah tersebut aku bagi pada kakak aku sebagai tanda terima kasih. Tiada peristiwa menarik dapat ku paparkan disini cuma apa yang aku ingat pada akhir tahun aku mendapat tempat pertama dalam periksa dan diberi hadiah sepasang kasut sekolah dan dinaikkan ke kelas 2M (ranking pertama dalam aliran).

Hari pertama dikelas baru maka aku bertemu rakan-rakan baru. Sengaja aku masukan gambar ini kerana itulah satu-satunya koleksi yang aku ada untuk tatapan rakan-rakan sekelian.

Tahun 1977, darjah dua merah bersama-sama aku ialah nasir rahman, sannan khan, nasir che tam, shidi ramli, yasir, zailani, ghani, zakir, fauzi shafie (masuk darjah 4), anuar ahmad, habib karim, fauzi hamid, halim johan, shukri mahmud dan nasir batu 18.

Itu budak-budak lelaki sementara, perempuan pula terdiri dari nora, yati roslizan, zuhaida, rosita rodziah, asma x2, awanis, rohana rahman dan rohana jamaluddin, suria, azizah,nurshidi, nurjahan, shimah,nurhazita non, ana kassim, hamidah, sobihah, rodziah majid, salwana dan aku minta maaf mana-mana nama yang aku lupa tu, sila perkenalkan diri sekali lagi.

Gambar tersebut bersama dengan cikgu Fatimah, guru kelas yang mengajar bahasa inggeris. Dek kerana garangnya cikgu timah, maka aku yang tergagap-gagap baca dalam bahasa inggeris, terus jadi lancar. Sebenarnya cikgu timah ni jadi guru kelas sejak darjah 4 dan alangkah manisnya jika dapat berkumpul semula bersama mereka. Harap-harap cikgu-cikgu aku ini terbaca atau ternampak tulisan ini turut dijemput kemajlis tersebut.

Semasa darjah dua pun begitu tidak banyak sangat peristiwa yang menarik dan apa yang aku ingat cuma sekolah disebelah petang dan aku dikejar kera sewaktu kesekolah. Dan sebelum masuk kelas, baju kami basah kerana peluh bermain bola dipadang dan paling genting kemarau di Kedah pada tahun tersebut hingga air paip kering. Tetapi mujurlah emak Nurasma Hamid menyediakan air untuk kami minum itu pun atas usaha mereka sendiri.

Memang perit kemarau pada tahun tersebut hinggakan empangan pedu dan muda kering dan sumber air hanya dari perigi dan sungai sahaja. Tetapi kami dikampung turut merasai kesan dari kemarau dimana sir telaga pun hampir kering tetapi masih boleh selamat lagi.

1978, aku masih kekal dikelas merah dan masih aku ingat kami didenda berlari keliling gelangang bola keranjang kerana bermain bola sebelum kelas petang bermula dengan cikgu faridah. Cikgu faridah ini suka berfesyen dan hari-hari kami didendang oleh koleksi pakaian kebayanya dan dikhabarkan sekolah terakhir beliau mengajar ialah disekolah haji hassan hitam, simpat empat kangkong dan mungkin pencen disana. Jika cikgu faridah membacan tulisan ini, beliau turut dijemput kemajlis tersebut.

Akhir tahun ada peperiksaan penilaian darjah 3 dan sehingga hari ini kami tidak mengetahui keputusannya dan ia terus menjadi misteri sampai bila-bila.

Darjah 4M iaitu pada tahun 1979, tahun gemilang sekolah kerana pertama kali jadi johan daerah dalam acara bolasepak dan olahraga. Pada tahun tersebut, pimpinan cikgu baharom majid (aruah) berjaya membawa pasukan sekolah menjuarai bolasepak hingga menjadi johan MSSKedah dan antara pemain terpilih mewakili negeri ialah Elias Hashim, Rozaidi Hussin, Anizam Yahaya dan beberapa pemain lagi.

Darjah 5M, kesemua murid-murid pada tahun tersebut dapat dilihat didalam gambar kelas yang tertera diatas bersama dengan cikgu fatimah dan tahun tersebut kami mengambil peperiksaan penilaian darjah 5 (seperti UPSR) dan menentukan siapa layak keasrama penuh. Seingat aku hanya Sannan saja yang keasrama penuh iaitu Tuanku Syed Putra, Kangar dan yang lain semua ke Sultanah Asma, Kolej Sultan Abdul Hamid, Ibrahim, Maktab Mahmud, Sultanah Bahiyah dan Guar Chempedak. Antara yang ditawarkan adalah peserta rancangan khas dan tawaran khas.

Darjah 6 Merah, tahun berbulan madu sepanjang tahun. Boleh dikatakan aku hampir setiap hari keluar dari sekolah kerana menghadiri latihan sukan dan perlawanan. Bermula sejak januari hingga ogos. Dan rakan-rakan yang lain turut bersama-sama aku berlatih bolasepak, sepak takraw, badminton, olahraga dan bola keranjang termasuklah olahraga. Kami sekelas menguasi semua permainan ini cuma sesetengah saja diberi peluang kepada pelajar dari kelas lain.

Masa tersebut buku tidak pernah disentuh lagi dan cuma bermain sepanjang tahun hingga cuti penggal terakhir persekolahan.

Ikuti sambungan kisah semasa darjah enam merah.........................................

Rabu, 18 November 2009

Malam Alumni SKGC 1981


Sekali lagi dalam tahun yang sama, alumni SKGC 1981 akan diadakan di Restoran Hijau Kuning, Guar Chempedak. Lokasinya ialah berhadapan dengan masjid. Acara bermula pada jam 9.00 malam pada hari jumaat 27.11.2009.

Ini terbuka kepada semua bekas pelajar yang berada disekolah tersebut pada tahun 1981 (Darjah 6) sahaja. Sesiapa yang membaca tulisan ini dan berkaitan dengan acara tersebut dijemput hadir dan diminta menghubungi saudara Zailani Abdul dan Ahmad Nasir Che Tam untuk pengesahan kehadiran.

Talian telefon mereka adalah seperti berikut: Zailani 0164020222 dan nasir 0174500216.
semua yang belajar di SKGC, Kedah pada tahun 1981 ( darjah 6 ) dijemput hadir.

harap maklum

Sabtu, 14 November 2009

Danau Biru















Gambar ini diambil ketika kami mengadakan majlis reunion bekas-bekas penghuni asrama SMI dari tahun 1982-1986 di hadapan kedai Asri.

Sebahagian sahaja yang dapat hadir kerana itulah permulaan setelah lama tidak berjumpa dan bila jumpa balik macam-macam karenah dan perangai serta cerita yang dah lama bersarang terungkai.

Terima kepada Zailani Abdul, Zarudi Ishak, Zul Lepek, Asri dan Zaki kerana usaha merekalah maka majlis ini dapat diadakan.

Okay berbalik kepada Danau Biru, sebenarnya bukanlah sebuah tasik tetapi dorm atau kamar yang kami tinggal diasrama. Ini kerana setiap tahun menjelang malam Asmi, pertandingan kamar terbaik akan diadakan dan penyertaan wajib kesemua kamar diasrama. Jadi masing-masing membari nama kamar mengikut citarasa masing-masing dengan harapan beroleh kemenangan. Jadi kami memilih nama tersebut, konon-kononnya akan menanglah tetapi hampeh tak pernah menang pun tapi apa yang kami dapat ialah dorm yang bersih dan teratur.

Macamana tak bersih dan teratur kerana peraturan dorm sendiri seperti pemeriksaan dorm sebanyak 4 kali sehari seperti waktu pagi sebelum turun main, sebelum pergi sekolah, sebelum kelas prep dan sebelum tidur.

Cara pemeriksaan (inspection) akan dilakukan oleh pengawas dorm. Kami akan beratur dan berdiri didepan katil masing-masing dan pengawas akan mula memeriksa cadar, bantal, susunan kasut, ampaian baju, almari dan lantai dan siapa yang bersalah maka hukuman sedia menanti seperti ketuk ketampi, tekan tubi dan berlari keliling bangunan.

Tetapi sebenarnya hukuman itulah yang mendewasakan kami dan amat disiplin seolah-olah kami berada dikem tenteta kerana kebanyakkan arahan adalah didalam bahasa inggeris. Aku dulu yang berasal dari kampung yang tidak pernah mengenal perkataan inggeris sudah hampir mahir apabila tinggal diasrama.

Rutin harian adalah seperti berikut apabila pagi sebelum subuh, kami semua wajib bangun dan hendaklah pergi kesurau untun solat subuh selepas itu mandi dan inspection sebelum kedewan makan selepas itu turun bersukan. Selepas tamat waktu sukan kami kekelas prep (bacaan) hingga jam 12.00 tengahari . Selepas itu loceng makan tengahari dibunyikan dan semua kedewan dan terus kesekolah untuk pelajar petang hinggalah jam 6.30 petang baru kembali keasrama. Balik bilik, mandi dan kedewan makan, solat magrib dan terus kekelas dan tamat kelas pualgn kekamar dan tidur dan begitulah aktiviti setiap hari.

Sebenarnya segala jadual diasrama memang nampak teratur dan kemas serta seronok tetapi ruang-ruang dicelah-celah masa yang terluang itulah sebenarnya terisi dengan aktiviti diluar jangkaan.

Dan masa yang terluang tersebut yang akan diisi dengan aktiviti luar jangkaan akan disambungkan pada episod akan datang kerana pengisian tersebut perlu dihujahkan secara terperinci serta menarik.

Jumaat, 13 November 2009

Haji Mohd Asri bin Haji Abdul Majid (HMABHAM)


Salah seorang sahabat yang aku kenal sejak kecil bermula 1980 di Guar Chempedak dimana bermula sejak mengenali sukan sepak takraw kemudian berjumpa lagi di final bolasepak antara sekolah di daerah Yan, badminton dan sepak takraw.

Dulu disekolah beliau gemar menambah MABHAM, tetapi setelah pulang menunaikan ibadat haji, aku hanya tambah H dihadapan. Kami sama-sama mewakili daerah Yan dalam acara bolasepak, olahraga dan sepaktakraw ke peringkat negeri dan yang agak berjaya sikit ialah mara ke final acara 4X400m di Stadium Darul Aman.

Difinal acara 400m peringkat daerah yang diadakan di SMK Guar Chempedak pada tahun 1981, beliau berada dibelakang aku sebagai pemenang pingat emas dan kami sama-sama terpilih wakil daerah ke peringkat negeri. Pendek kata kemana aku pergi, mesti Asri bersama. Dan sejak itu kami saling bersahabat hingga kini.

Tahun berikutnya, 1982 seminggu aku tiba di SMK Ibrahim, beliau bersama-sama group rancangan khas seramai lebih 70 orang pun tiba di Ibrahim. Rancangan Khas ialah satu kumpulan pelajar-pelajar sekolah rendah yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (kini diganti dengan UPSR) tetapi tidak mendapat tempat kesekolah asrama penuh. Kumpulan ini ditawarkan dengan biasiswa kecil perseketuan sebanyak RM25.00 sebulan dan melanjutkan pelajaran kesekolah-sekolah perdana seperti SMK Ibrahim, Kolej Sultan Abdul Hamid, SMK Badlishah, SMK Sultanah Asma, Sultanah Bahiyah, SMK Khir Johari dan SMK Che Tom.

Tetapi seramai 70 orang pelajar dari luar bandar seperti Baling, Merbuk, Terap, Pendang, Tg. Dawai, Yan, Sg. Yan, Pokok Tai, Gurun, Simpor, Kota Kuala Muda, Bukit Meriam, Tikam Batu dan mana-mana lagi kampung semuanya mendaftar disana asrama Ibrahim.

Kini hampir kesemua bekas-bekas pelajar masih lagi kami berhubung dengan diadakan majlis alumni yang pertama ditahun 2004 dan seramai 30 orang telah hadir dan dari situ dapatlah berita-berita terkini yang lain.

Selepas mendaftar, maka kami diperkenalkan kepada penghuni asrama seramai hampir 400 orang seminggu yang dinamakan minggu orientasi - iaitu minggu kena buli dan macam-macam taksiran mengikut pengalaman masing-masing.

Ada yang kena menyanyi, menari, basuh baju, buat kerja sekolah senior seperti melukis dan yang paling dasyat kena dera fizikal.

Dera fizikal ialah sentuhan yang dikenakan keatas pelajar baru secara kasar dan lembut. Kena dera ini bermacam-macam seperti kena tekan tubi, ketuk ketampi, helicopter dan merangkat bawah katil serta berenang atas lantai. Ada juga yang kena penendang, tampar, tumbuk dan karate. Minggu tersebut, kami juga kena buat persembahan dan macam-macam. Dan yang paling tidak tahan kamar kami disebelah kamar tingkatan 5, jadi selama setahunlah kami didera.

Asri, paling kuat melawan dengan senior, dia bukan peduli sapa, silap kena buli pasti sipembuli itu kena balik dengan dia. Ramai juga senior tengok dia macam nak makan dia tapi ilmu mengelak dia ini sangat tinggi dan paling hebat rajin hilang waktu bersantai. Ke mana dia pergi?

Sekali lagi kami duduk sekamar yang dinamakan "Danau Biru" aku pun kurang mengerti dan faham kenapa dinamakan seperti itu dan jawapan dia pasti dapat dijawab oleh Radzi Yusuf - pengawas kamar.

Dalam kamar (dorm) kami itu terdiri dari 20 orang dimana katil dua tingkat sebanyak 10 sebaris dan aku tinggal bersama Marzuki dari Permatang Tok Dik, Kulim, rakan sepasukan bolasepak MSS Kedah tahun 1981. Bersama-sama aku ialah Azizi, Khalid, Jeffri, Sukria, Sabaruddin, Juzaini Mat Sin (Aruah) dan Marzuki yang masuk seminggu lebih awal dari peserta rancangan khas.

Lepas tu riuhla kamar kami yang tadi sunyi dan menerima rakan-rakan baru dari merata tempat diseluruh Kedah. Aku dilantik sebagai Ketua Dorm diamanah menjadi kebersihan dan disiplin penghuninya.

Banyak lagi kenangan di Danau Biru ini akan disiarkan bersama-sama keluaran akan datang dan diminta anda semua bersabar.

Selasa, 10 November 2009

Menjelang hari raya aidil adha...27.11.2009


Pejam celik pejam celik, lagi 17 hari kita akan menyambut hari raya haji dan sekarang musim bakal-bakal haji berangkat ke Mekah. Hari ini, mak chaq bersama kak jah ke Kelana Jaya dan tepat jam 3 pagi, mereka akan berangkat ke Mekah.

Tetapi kali ini suasana tersebut agak kelam kabut dan tidak teratur kerana keputusan disaat akhir mengwjut para jemaah haji dimana panggilan ke mekah dibuat secara panggilan telepon. Ini kerana banyak jemaah yang terpilih terdahulu telah menolak disebabkan oleh penyakit selsema babi jadi kekosongan itu diisi oleh jemaah disenarai simpanan. Apa pun syukur kerana hajat mereka dimakbulkan Allah dan peluang ini tidak tahu bila akan diperolehi semula.

Sebelum berangkat, abang mat telah mengetuai upacara restu perjalanan dengan membaca beberapa ayat alquran, doa dan azan dalam suasana agak sedih dan tenang sehingga beliau sendiri menangis tetapi masih dapat dikawal. Kemudian kenderaan yang membawa jemaah haji pun bergerak meniggalkan rumah dan terus hilang dari pandangan.

Beberapa jam selepas itu, aku mendapat berita bahawa pasangan penghulu masjid zahir, iaitu abang mat dan kak na dapat berangkat sekali dimana sebelum ini hanya abang mat saja yang boleh dan dalam keadaan kelam kabut mereka membuat persediaan seperti membuat pasport, cucuk lah dan lain2 berkaitan dengan urusan perjalanan.

Petang tadi suasana tersebut reda dengan keadaan kembali tenang dan kini cuma menunggu tarikh berangkat sahaja.

Aku terus ke tempat kerja selepas menghantar emak ke rumah dan tiba di bank terus berjumpa dengan Shida untuk mengambil salinan TT dan resit pembayaran cek untuk diberi kepada Haji Alias.

Petang selepas waktu pejabat aku ke kangar bersama Que, tujuan hanya untuk mengambil kunci rumah dan pekena cendoi di Fatin Corner. Dalam perjalanan banyak perkara kami bercerita dan banyak menyentuh hal-hal kerja dan aku faham kedudukan selepas dicerita oleh Que dan isi ceritanya akan aku ulas kemudian.

Sampai di kangar, aku panggil Pak Ya, Otai Kangar dan sambil minum dan cerita-cerita berkenaan kerjaya beliau terbaru seperti jurulatih takraw negeri dan guru koperasi sekolah selain tugas hakikinya sebagai pengajar.

Banyak berkisar pasal displin pelajar hari ini yang nampak sudah menjadi kelam kabut dan terkeluar dari landasan. Harapa-harap pihak yang bertanggungjawab dapat memperbetulkan keadaan tersebut.

Jam 6.45 aku ke km 2, jalan kepala bukit untuk menghantar que dan singgah dimasjid syed alwi untuk solat magrib dan terus tiba dirumah jam 9.00 malam.

Rakan Lama


Semalam (kemarin) sahabat lama masa darjah 6 menghantar email kepada aku, namanya Zuhaida Md. Zain, kami sekelas pada tahun 1981 dan bila masuk sekolah menengah masing2 berselerak ada yang ke alor setaq, sungai petani dan sebagainya.

Sejak 1982 hingga 9.11.2009, lebih 27 tahun kami tidak mendengar khabar. Ceritanya agak menarik kerana beliau kini bertugas di UUM, Sintok sebagai pegawai di perpustakaan dan menetap di Changloon. Changloon ialah sebuah pekan di persimpangan ke Sintok dan Kodiang, agak strategik dan menarik, kerana terkenal dengan cendoinya dan last stop sebelum ke Danok disebelah Siam.

Mempunyai 5 anak dengan 2 telah disimpan yang yang sulong telah berusia disekolah menengah dan aku angkat topi kepadanya kerana tabah dengan ujian Allah.